DSP Mengaku Tidak Bersalah Bunuh Pelajar Tingkatan 5

14 May 2024 • 1:21 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Tertuduh (menutup muka) ketika dibawa keluar dari Mahkamah Tinggi Ipoh - Gambar BERNAMA

KUALA LUMPUR - Seorang pegawai Kanan polis berpangkat Deputi Superintendan mengaku tidak bersalah membunuh seorang pelajar tingkatan lima tahun lalu.

Tertuduh, Mohd Nazri Abdul Razak membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Bhupindar Singh Gurcharan Singh Preet di Mahkamah Tinggi Ipoh, Perak.

Dia yang sebelum ini bertugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah didakwa menyebabkan kematian terhadap Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie, 17, di Jalan Taman Jati 1, berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jati dalam daerah Kinta, antara 11.45 pagi hingga 12.40 tengah hari, 15 Disember 2023.

Untuk kesalahan tersebut, tertuduh didakwa la Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan, dia boleh dijatuhkan hukuman mati atau dipenjara sehingga 40 tahun. 

Sekiranya tidak dihukum mati, tertuduh perlu dihukum dengan tidak kurang 12 sebatan.

Selepas mendengar pengakuan tertuduh, mahkamah menetapkan tempoh perbicaraan selama 30 hari bermula 4 November tahun ini.

Tarikh berkenaan adalah 4 hingga 8 dan 11 hingga 15 November, 2 hingga 6 dan 9 hingga 13 Disember serta 6 hingga 10 dan 13 hingga 17 Januari 2024.

Harian Metro melaporkan, kedua-dua pihak turut ditetapkan oleh mahkamah untuk menyerahkan afidavit masing-masing pada 1 Julai depan.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Afzainizam Abdul Aziz, Saiful Amal Mod Said dan Nasrul Hadi Abdul Ghani manakala tertuduh diwakili peguam, Jacky Loi Yap Loong, Lim Chi Chau dan M Kuhan.

Turut hadir pada prosiding sebutan itu hari ini ialah peguam pemerhati yang dilantik keluarga mangsa, Yasmineji Khalid dan Amira Najwafitri Amir Arif. - Getaran, 14 Mei 2024