amree19/10/2026 - 10:30 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 19 Okt — Firma ekuiti persendirian Amerika Syarikat (AS), KKR merancang melabur kira-kira RM2.6 bilion dalam anak syarikat tenaga boleh diperbaharui (RE) PETRONAS di India, Gentari Renewable India Pte Ltd, menurut laporan The Economic Times.
Bagaimanapun, suntikan modal itu tidak akan memberikan KKR pegangan ekuiti secara langsung dalam Gentari Renewable India, sebaliknya firma berkenaan akan diberikan pilihan untuk memperoleh kepentingan dalam syarikat tersebut pada masa hadapan.
Laporan akhbar perniagaan India itu, dengan memetik sumber tidak dinamakan yang mengetahui perkara berkenaan, namun tidak pula memperincikan sebarang tempoh pelaburan atau syarat bagi pilihan memperoleh pegangan ekuiti tersebut.
Gentari Renewable India sebelum ini, dilaporkan sedang mendapatkan modal pertumbuhan bagi membiayai perluasan projek RE dan hidrogen hijau, selain mengurangkan jumlah hutang yang ditanggungnya.
Langkah mendapatkan pembiayaan itu susulan perluasan portfolio tenaga bersih syarikat berkenaan di India, termasuk pemerolehan portfolio solar dan angin berkapasiti 1.6 gigawatt daripada Brookfield Asset Management pada Mac 2025.
Pemerolehan portfolio berkenaan bernilai AS$900 juta, iaitu bersamaan kira-kira RM3.67 bilion, berdasarkan nilai yang dilaporkan ketika transaksi tersebut diumumkan.

Sebelum itu, pada Mei 2024, Gentari Renewable India turut memperoleh portfolio solar berkapasiti 185 megawatt yang sudah beroperasi daripada Fortum Corporation dan rakan kongsinya.
Pelaburan yang dirancang KKR itu berpotensi menyediakan sumber modal bagi menyokong rancangan pengembangan perniagaan tenaga bersih Gentari Renewable India, namun laporan berkenaan tidak menyatakan bahawa transaksi tersebut telah dimuktamadkan.
PETRONAS mempunyai kehadiran perniagaan di India melalui pembekalan gas asli cecair (LNG), petrokimia, perdagangan petroleum dan pelincir automotif.
Syarikat minyak dan gas (O&G) nasional Malaysia itu turut mempunyai projek usaha sama (JV) 50:50 dengan Indian Oil Corporation dalam perniagaan gas petroleum cecair (LPG).
Perkembangan itu mencerminkan tumpuan Gentari Renewable India terhadap pengembangan projek RE dan hidrogen hijau di India, dengan rancangan pembiayaan KKR menjadi antara perkembangan terbaharu berkaitan usaha mendapatkan modal bagi pertumbuhan perniagaan tersebut. - DagangNews.com






