Malaysia lulus eksport pertama nadir bumi mentah secara bersyarat di bawah rangka kerja baharu

LocalBusiness & Finance
22 Oct 2026 • 11:11 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Malaysia lulus eksport pertama nadir bumi mentah secara bersyarat di bawah rangka kerja baharu Image from: Malaysia lulus eksport pertama nadir bumi mentah secara bersyarat di bawah rangka kerja baharu amree22/10/2026 - 11:11 Gambar hiasan - BERNAMA Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 22 Okt – Malaysia meluluskan permohonan pertama untuk mengeksport nadir bumi mentah bagi tujuan penyelidikan dan pembangunan (R&D), menandakan perkembangan baharu usaha kerajaan mengimbangi kawalan eksport sumber strategik dengan tarikan pelaburan berteknologi tinggi.

 

Kelulusan itu diberikan di bawah rangka kerja baharu yang membenarkan eksport bahan nadir bumi yang belum diproses secara bersyarat, sekali gus membuka ruang luas kepada aktiviti ujian dan berpotensi menarik pelaburan dalam industri pemprosesan tempatan, menurut laporan Bloomberg.

 

Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) meluluskan satu permohonan eksport bagi tujuan R&D, berdasarkan maklum balas Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) ke atas pertanyaan agensi itu, namun identiti pemohon atau butiran penghantaran tidak didedahkan kerajaan.

 

Perkembangan itu menyusul pengumuman garis panduan baharu awal Oktober 2026 melonggarkan moratorium eksport nadir bumi mentah berkuat kuasa sejak 2024. Penghantaran bahan belum diproses boleh dipertimbangkan bagi penyelidikan, pembangunan atau pemprosesan tertakluk syarat ditetapkan.

 

Nadir bumi ujar laporan agensi berita itu, merupakan bahan mentah strategik yang digunakan dalam pelbagai teknologi moden, termasuk elektronik, kenderaan elektrik (EV), tenaga boleh diperbaharui (RE) dan aplikasi pertahanan dengan mendapat permintaan tinggi di seluruh dunia. 

 

Penguasaan China sejak sekian lama dalam sektor perlombongan dan pemprosesannya mendorong banyak negara lain, termasuk Malaysia, berusaha membangunkan kapasiti sendiri bagi mengurangkan tahap kebergantungan tinggi terhadap bekalan sumber bahan mentah itu dari negara berkenaan.

 

nadir bumi_DagangNews2026
Gambar hiasan

 

Malaysia ketika ini menjadi lokasi operasi Lynas Rare Earths Ltd dari Australia, yang merupakan antara pengeluar utama nadir bumi di luar China. Pada masa sama, beberapa kumpulan korporat tempatan, termasuk Berjaya Corp Berhad, turut meneroka peluang pembangunan projek berkaitan.

 

Syarikat Perancis, Carester SAS pula merancang membangunkan kilang pengasingan nadir bumi di Perak dengan kerjasama Malaco Mining Group. Selain itu, lebih sedozen syarikat dari Amerika Syarikat (AS) dilaporkan sedang meneroka peluang perniagaan dalam sektor nadir bumi di Malaysia.

 

NRES berkata garis panduan itu terbuka kepada pemohon yang layak, termasuk syarikat asing, dengan syarat semua keperluan kawal selia berkaitan dipatuhi. Ini bermakna kelulusan eksport bukan diberi automatik, sebaliknya bergantung pada tujuan permohonan dan pematuhan terhadap syarat ditetapkan.

 

Kerajaan pada masa sama, turut menegaskan bahawa keutamaan bukan terletak pada jumlah permohonan eksport yang diluluskan, tetapi pada kualiti pelaburan, pemindahan teknologi dan penciptaan nilai secara jangka panjang kepada pertumbuhan ekonomi negara ini.

 

Pendekatan itu mencerminkan usaha Malaysia memastikan pembangunan sumber nadir bumi tidak terhad kepada pengekstrakan dan eksport bahan mentah, sebaliknya menyokong pembinaan keupayaan domestik dalam aktiviti pemprosesan serta penghasilan produk bernilai tambah lebih tinggi.

 

Secara keseluruhan, kelulusan pertama itu menjadi petunjuk awal pelaksanaan kerangka eksport bersyarat berkenaan, ketika Malaysia berusaha memperkukuh kedudukannya dalam rantaian bekalan nadir bumi global. 

 

Bagaimanapun, kesan jangka panjangnya terhadap pelaburan, pemindahan teknologi dan kapasiti pemprosesan tempatan bergantung pada syarat pelaksanaan serta projek yang berjaya direalisasikan. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved