Dua anggota Bukit Aman didakwa minta suapan RM2,000 elak ambil urin

LocalPolitics
30 Sep 2026 • 12:19 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Dua anggota Bukit Aman didakwa minta suapan RM2,000 elak ambil urin

MELAKA – Dua koperal didakwa di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, hari ini atas pertuduhan meminta dan menerima suapan berjumlah RM2,000 sebagai dorongan untuk tidak menjalankan ujian saringan air kencing, Januari lalu.

Kedua-dua tertuduh, Mohd. Zulkhairy Zakaria, 39, dan Yaakub Yusoff, 43, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus dua pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Mohamad Kamil Nizam.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, tertuduh didakwa secara bersama-sama telah secara rasuah meminta dan menerima bagi diri mereka suapan iaitu wang berjumlah RM2,000 daripada dua lelaki berusia 23 tahun.

Ia sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan menjalankan ujian saringan air kencing terhadap kedua-dua lelaki berkenaan yang disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Kedua-dua tertuduh adalah sebagai pegawai badan awam iaitu anggota polis berpangkat koperal di Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia, Bukit Aman.

Perbuatan itu masing-masing dilakukan antara pukul 1.30 pagi dan 2 pagi di Jalan Simpang Ampat dan pukul 2.45 pagi di Hentian Rehat & Rawat Ayer Keroh (arah utara), Lebuh Raya Utara-Selatan dalam daerah Alor Gajah pada 5 Januari lalu.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan didenda tidak kurang lima kali ganda atau nilai suapan yang menjadi hal perkara kesalahan itu, jika suapan itu dapat dinilai atau berbentuk wang atau RM10,000, mana-mana lebih tinggi.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.

Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Sharina Farhana Nor Sa’ari mencadangkan jaminan sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan.

Peguam Fahmi Abd. Moin bagaimanapun merayu agar nilai jaminan dikurangkan kepada RM5,000 dengan alasan kedua-dua anaknya guamnya telah berkahwin dan perlu menanggung anak-anak yang masih bersekolah.

Selepas mendengar hujah kedua belah pihak, mahkamah bersetuju membenarkan jaminan sebanyak RM8,000 dan menetapkan sebutan kes semula pada tarikh 11 November depan. – KOSMO! ONLINE

The post Dua anggota Bukit Aman didakwa minta suapan RM2,000 elak ambil urin appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved