
MELAKA – Seorang lelaki didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan melakukan kelucahan terlampau termasuk menunjukkan kemaluannya terhadap seorang jururawat, awal bulan ini.
Terdahulu, tertuduh Mohd. Azizie Jama Huri, 41, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus dua pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Uthman Abd. Ghani.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan perbuatan kelucahan terlampau terhadap seorang wanita berusia 47 tahun dengan melakukan perbuatan tidak senonoh dan menunjukkan kemaluannya.
Perbuatan itu dilakukan kira-kira pukul 12.12 tengah di dalam bilik kaunter sebuah klinik di Taman Tangga Batu Permai dalam daerah Melaka Tengah pada 6 September 2026.
Sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun mengikut Seksyen 377D Kanun Keseksaan.
Mengikut pertuduhan kedua, tertuduh didakwa memiliki telefon bimbit yang mengandungi gambar dan video lucah kira-kira pukul 1 petang di Cawangan D11 Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka pada 21 September 2026.
Bagi perbuatan itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 292 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih tiga tahun atau denda atau kedua-duanya.
Terdahulu, pendakwaan dikenalikan Timbalan Pendakwa Raya, Syauqi Mardia Baharudin mencadangkan jaminan sebanyak RM7,000 bagi kedua-dua pertuduhan, manakala tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu jaminan rendah dengan alasan dia hanya bekerja sendiri.
Selepas mendengar rayuan kedua belah pihak, mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM6,000 berserta syarat tambahan tidak mengganggu mangsa. Sebutan semula kes ditetapkan pada tarikh 21 Oktober depan bagi serahan dokuman dan lantikan peguam.- KOSMO! ONLINE
The post Senyum selepas didakwa tunjuk kemaluan pada jururawat appeared first on Kosmo Online.






