Dua rakan didakwa gadai barang kemas palsu

3 Sep 2026 • 3:08 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Dua rakan didakwa gadai barang kemas palsu

BATU GAJAH: Dua rakan yang didakwa terlibat dalam sindiket pajak emas palsu dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menipu pekerja kedai pajak dengan menggadaikan barang kemas palsu, bulan lalu.

Tertuduh, Mu Vui Yen, 38, mengaku bersalah, manakala rakannya, Ng Yung Cheng, 26, tidak mengaku bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret Nazratul Natrah Mohd. Yussof.

Mengikut pertuduhan, Vui Yen yang merupakan pekerja e-hailing didakwa menipu pekerja kedai pajak dengan mengemukakan seutas rantai tangan seberat 30.4 gram yang bukan emas tulen bagi tujuan mendapatkan wang pajakan.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah kedai pajak di Jalan Pejabat Pos, Batu Gajah pada pukul 4.30 petang, 26 Ogos lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Yung Cheng yang juga seorang penganggur didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu seorang lelaki dengan menyerahkan seutas rantai leher seberat 19.55 gram yang bukan emas tulen bagi mendapatkan wang pajakan berjumlah RM8,500.

Lelaki itu didakwa melakukan kesalahan tersebut di sebuah kedai pajak di Persiaran Desa Tronoh Indah, di dalam daerah Batu Gajah pada pukul 11.52 pagi, 24 Ogos 2026.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara minimum setahun dan maksimum 10 tahun, sebatan serta denda.

Nazratul Natrah membenarkan Vui Yen diikat jamin sebanyak RM4,000 manakala Yung Cheng pula RM5,000 dengan seorang penjamin, berserta syarat tambahan perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah selain melapor diri di balai polis berhampiran sekali pada setiap bulan.

Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 12 Oktober depan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, S. Nishaalini manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Intan Shafini Mior Shahrin. –UTUSAN

The post Dua rakan didakwa gadai barang kemas palsu appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved