Dua bas persiaran bawa 70 penumpang, SUV terlibat kemalangan di Jalan Genting Highlands

30 May 2026 • 8:31 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Dua bas persiaran bawa 70 penumpang, SUV terlibat kemalangan di Jalan Genting Highlands
Kemalangan bas persiaran yang membawa 36 penumpang terbalik dalam kemalangan melibatkan dua bas persiaran dan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) di KM15 Jalan turun Genting Highlands-Genting Sempah. - Bernama

KUANTAN - [DIKEMAS KINI] Tujuh warga Nepal cedera selepas sebuah bas persiaran yang membawa 36 penumpang terbalik dalam kemalangan melibatkan dua bas persiaran dan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) di KM15 Jalan turun Genting Highlands-Genting Sempah, petang tadi.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Mohd Salahuddin Isa berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 5.29 petang sebelum jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Genting Highlands tiba di lokasi pada 6.06 petang.

"Sebuah bas yang membawa 36 penumpang yang terdiri daripada warga Nepal telah terbalik, mengakibatkan tujuh orang mengalami kecederaan.

"Sebanyak 34 penumpang dari Bangladesh dan Nepal yang menaiki satu lagi bas persiaran pula dilaporkan selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Salahuddin berkata, tiga individu yang berada di dalam Perodua Aruz itu juga selamat dan tidak mengalami kecederaan.

Beliau berkata, semua mangsa berjaya keluar dari kenderaan masing-masing sebelum ketibaan pihak bomba di lokasi kejadian.

"Pasukan bomba memberikan bantuan awal kepada mangsa yang cedera sebelum diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan untuk dihantar ke hospital. Pihak bomba telah melakukan kerja-kerja pembersihan tumpahan minyak di lokasi kejadian,” katanya. - Bernama

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved