SHAH ALAM - Pengguna jalan Genting Highlands dikenakan tol ataupun caj laluan bermula hari ini susulan pelaksanaan kutipan caj oleh syarikat pengendali jalan, Lingkaran Cekap Sdn Bhd (LCSB).
LCSB dalam kenyataan memaklumkan, pelaksanaan caj itu akan dibuat dalam dua fasa melibatkan semua pengguna jalan yang dibenarkan kecuali kategori tertentu yang dikecualikan.
Menurut kenyataan itu, kutipan caj akan bermula di dua lokasi iaitu laluan masuk Genting Highlands di Genting Sempah dan laluan masuk Gohtong Jaya di bulatan Gohtong Jaya.
"Bagi kenderaan kelas 1 iaitu kereta dan van, caj dikenakan ialah RM5 bagi setiap kemasukan, manakala kenderaan kelas 2 iaitu lori sederhana pula dikenakan caj RM15.
"Kelas ketiga, lori berat RM25, kelas keempat (teksi) RM3.30 dan kelas kelima ( bas) dikenakan caj RM5," menurut kenyataan itu.
Tambah LCSB, kenderaan kelas 2, 3, 4 dan 5 diwajibkan memasuki laluan melalui 'Lorong Khas' atau menggunakan sistem Pengecaman Plat Nombor (LPR).
Dalam pada itu, syarikat pengendali jalan itu memaklumkan, motosikal dan kenderaan kecemasan diberikan pengecualian tanpa memerlukan pendaftaran.
Selain itu, kenderaan persendirian milik penjawat awam yang bertugas di beberapa institusi kerajaan di Genting Highlands turut dikecualikan dengan syarat berdaftar dan menggunakan laluan LPR atau Lorong Khas.
"Institusi terlibat termasuklah Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Layang, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Layang dan Institut Aminuddin Baki, Balai Polis Genting Highlands, Balai Polis Gohtong Jaya, Balai Bomba dan Penyelamat Genting Highlands," ujarnya.
LCSB berkata, pengecualian turut diberikan kepada kepada Klinik Desa Sri Layang, Pejabat Daerah Kecil Genting Highlands; Pejabat Daerah dan Tanah Bentong, Pejabat Cawangan Majlis Perbandaran Bentong (Cawangan Genting Highlands) serta Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Pahang (Cawangan Genting Highlands).
"Berkuasa kuat 28 Jun 2026, LCSB akan mendaftarkan sehingga dua kenderaan Kelas 1 (Kenderaan Berdaftar) bagi penduduk tetap Genting Highlands yang layak di bawah skim kadar keutamaan atapun pas bermusim.
Menurutnya, penduduk tetap yang berdaftar di bawah skim kadar keutamaan akan menikmati kadar 10 peratus lebih rendah daripada kadar biasa bagi setiap kemasukan menggunakan lorong LPR atau Lorong Khas.
Tambah kenyataan itu, pas bermusim selama enam bulan pula membolehkan pemegang menikmati kemasukan tanpa had ke Jalan Genting Highlands sepanjang tempoh sah laku.
"Pengecualian dan kadar keutamaan akan disemak secara berkala bagi memastikan kesesuaian berterusan serta mencerminkan perubahan operasi atau dasar," tambah LCSB.
Orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut berkaitan kategori kenderaan, prosedur pendaftaran dan skim pas bermusim menerusi laman web rasmi LCSB.





