Dua beradik maut dirempuh SUV hilang kawalan

16 May 2026 • 12:03 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Dua beradik maut dirempuh SUV hilang kawalan
Gambar tukar rakaman CCTV sebuah SUV yang disyaki merempuh 3 pejalan kaki di Jalan Pekan Baru, Klang pada Jumaat.

KLANG - Perjalanan dua beradik keluar makan malam dengan berjalan kaki berakhir tragedi apabila maut dirempuh sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) dalam kejadian langgar lari di Jalan Pekan Baru, Bandar Baru Klang di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S Vijaya Rao berkata, kejadian kira-kira jam 7.40 petang berlaku apabila SUV dari arah Jalan Meru ke Bandar Baru Klang telah hilang kawalan hingga merempuh mangsa yang berada di bahu kiri jalan.

Susulan itu katanya, pemandu SUV terbabit bertindak melarikan diri.

"Dua wanita warga tempatan berusia 57 dan 62 tahun yang juga pasangan adik-beradik disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala, manakala seorang lagi iaitu anak lelaki kepada salah seorang mangsa mengalami cedera ringan," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Beliau berkata, polis akan mengambil keterangan mangsa lelaki iaitu pelajar sekolah menengah berusia 17 tahun yang cedera itu.

Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Ahmad Fadzli Abdullah di talian 017-5843860 atau tampil di mana-mana balai berhampiran.

"Orang awam juga dinasihatkan agar sentiasa memandu dengan berhemah dan mematuhi peraturan jalan raya demi keselamatan bersama," katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.