Langgar Lari: Pemandu SUV Diburu Sebabkan Kematian 2 Beradik

16 May 2026 • 3:16 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Langgar Lari: Pemandu SUV Diburu Sebabkan Kematian 2 Beradik

KUALA LUMPUR - Polis sedang giat mengesan pemandu sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) yang terlibat dalam insiden langgar lari, sehingga mengorbankan dua wanita di Jalan Pekan Baru, petang semalam. 

Ketua Polis Daerah Klang Utara, S Vijaya Rao berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 7.40 malam ketika SUV terbabit yang dipandu dari arah Jalan Meru menuju ke Bandar Baru Klang, hilang kawalan lalu merempuh tiga pejalan kaki yang berada di bahu kiri jalan.

Menurut beliau, pemandu SUV itu melarikan diri sejurus selepas kejadian berlaku.

"Dua wanita tempatan berusia 57 dan 62 tahun yang merupakan adik-beradik disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah pada bahagian kepala.

“Seorang lagi mangsa yang juga anak kepada salah seorang wanita terbabit hanya mengalami kecederaan ringan,” katanya.

Beliau berkata, mangsa yang terselamat, iaitu seorang pelajar sekolah menengah berusia 17 tahun, akan dipanggil bagi membantu siasatan.

Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi pegawai penyiasat trafik, Inspektor Ahmad Fadzli Abdullah di talian 017-5843860 atau tampil ke mana-mana balai polis berhampiran.

“Orang ramai turut dinasihatkan supaya sentiasa memandu secara berhemah dan mematuhi peraturan jalan raya demi keselamatan semua pengguna jalan raya,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - Getaran, 16 Mei 2026