
TAWAU: Dua beradik – seorang remaja lelaki berusia 13 tahun dan adik perempuannya berusia 10 tahun yang menghidap autisme – maut dalam kebakaran sebuah rumah teres dua tingkat di Taman Ria 11, di sini, awal pagi Jumaat.
Ibu saudara mereka, Noreen Malvine, 37, berkata anak saudaranya, Muhammad Nor Fazryn Norman dan adik perempuannya, Nurailin Nathania, yang menghidap autisme, terperangkap di sebuah bilik di tingkat atas rumah itu ketika kebakaran berlaku kira-kira 6 pagi kerana tingkap bilik tersebut dipasang jeriji besi keselamatan.
“Ke mana sahaja dia pergi, Muhammad Nor Fazryn sentiasa menjaga adiknya, Nurailin. Mereka sentiasa bersama, tetapi kali ini mereka tidak sempat menyelamatkan diri,” katanya.
Noreen berkata anak saudaranya itu seorang abang yang bijak dan sentiasa melindungi serta menjaga adik-adiknya, khususnya Nurailin.
Beliau berkata ibu mangsa, Nor Fazrina Edayu Faisal, yang juga iparnya, cuba menyelamatkan kedua-dua beradik itu sebelum terpaksa terjun dari tingkap bilik tidur di tingkat dua bersama tiga lagi anaknya apabila bumbung rumah runtuh.
“Kakak ipar saya mengalami keretakan tulang belakang akibat hentakan ketika terjun, manakala seorang daripada anaknya mengalami asma akibat terhidu asap tebal,” katanya.
Noreen berkata dia membawa Nor Fazrina Edayu dan tiga anaknya ke Hospital Tawau untuk mendapatkan rawatan lanjut, manakala ahli keluarga lain mencari Fazryn dan Nurailin sebelum dimaklumkan bahawa mayat kedua-dua kanak-kanak itu telah ditemukan.
Beliau berkata keadaan kakak iparnya kini stabil, namun masih menerima rawatan di hospital akibat kecederaan dialami, menambah adik lelakinya, suami kepada Nor Fazrina Edayu, sedang dalam perjalanan pulang ke Tawau dari tempat kerjanya di Kota Kinabalu.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tawau, Jemishin Ujin berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 6.13 pagi dan anggota bomba tiba di lokasi kejadian pada 6.22 pagi.
“Setibanya di lokasi, kami menganggarkan kira-kira 70 peratus rumah teres dua tingkat itu telah dijilat api.
“Operasi pemadaman dijalankan menggunakan bekalan air daripada tangki jentera bomba dan pili bomba berhampiran sebelum anggota menemui dua kanak-kanak, termasuk seorang yang menghidap autisme, dalam keadaan rentung di sebuah bilik,” katanya.
Punca kebakaran masih dalam siasatan.






