Dua beradik Sharifah fokus jualan kek ‘petite’

LocalBusiness & Finance
16 Oct 2026 • 10:28 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Dua beradik Sharifah fokus  jualan kek ‘petite’

Bermula dengan menjual kek dan brownies di tepi jalan, perjalanan perniagaan dua beradik itu berubah apabila mereka membuka kedai sendiri pada 2023 dengan menggunakan nama Lookies, sebelum tampil dengan kek petite sebagai antara produk tarikan pelanggan.

Sharifah Ili Nazihah Tengku Abdillah, 33, berkata, minatnya terhadap bidang perniagaan turut mendorong adiknya, Sharifah Nur Aqilah, 25, untuk sama-sama menceburi bidang berkenaan selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Menurutnya, mereka memulakan perniagaan pada 2018 secara kecil-kecilan dengan menjual brownies dan kek keju, sebelum perlahan-lahan mengembangkan produknya.

“Pada awalnya, kami berniaga di bawah kanopi sahaja. Kami buat brownies, kek keju dan beberapa jenis kek untuk dijual.

“Ketika itu, kami tidak fikir pun perniagaan ini akan berkembang seperti sekarang. Kami cuma mahu mencuba dan cari pengalaman,” katanya.

Katanya, dia banyak memberi dorongan kepada adiknya untuk berani mencuba bidang keusahawanan, walaupun ketika itu Syarifah Nur Aqilah masih menyambung pengajian di Politeknik Kuala Terengganu.

“Saya memang selalu beri semangat kepada adik untuk teruskan berniaga. Kalau dia balik ke kolej pun, dia akan ambil tempahan kek dan bawa kek untuk dijual kepada kawan-kawan.

“Daripada situ, dia mula ada pelanggan sendiri dan semakin yakin untuk meneruskan perniagaan,” katanya.

Menurut Sharifah Ili Nazihah, pengalaman tersebut banyak membantu adiknya mempelajari selok-belok perniagaan.

“Dia belajar cara ambil tempahan, berurusan dengan pelanggan, kira kos dan pastikan kek disiapkan mengikut masa.

“Walaupun masih belajar, namun dia sudah biasa dengan rutin berniaga,” katanya.

Sementara itu, Sharifah Nur Aqilah berkata, minat terhadap kek menjadi pencetus utama untuknya meneruskan perniagaan yang dimulakan bersama kakaknya.

“Saya memang suka makan kek dan daripada minat itu saya terfikir untuk cuba menjual kek. Kakak pula banyak memberi motivasi dan menjadi orang yang mendorong saya untuk teruskan, walaupun pada awalnya kami hanya berniaga secara kecil-kecilan,” katanya.

Sharifah Nur Aqilah berkata, mereka kemudian mula melihat peluang menghasilkan kek dalam saiz lebih kecil selepas menyedari terdapat permintaan
terhadap kek lebih ringkas dan mampu milik.

“Pada 2023, kami mula cuba buat kek petite. Saiznya kira-kira 2.5 inci dan ketika pertama kali diperkenalkan, kami hanya menerima satu tempahan.

“Daripada satu tempahan itu, kami nampak ada peluang kerana pelanggan suka kek kecil yang comel dan sesuai untuk sambutan sederhana,” katanya.

Menurutnya, mereka kemudian memperkemaskan penghasilan kek petite dengan menghasilkan pelbagai reka bentuk yang boleh ditempah mengikut kehendak pelanggan.

“Walaupun kecil, kami tetap mahu kek itu nampak menarik. Pelanggan boleh pilih reka bentuk dan hiasan mengikut kehendak mereka. Harganya pula sekitar RM10 hingga RM40 bergantung kepada reka bentuk dan tempahan,” katanya.

Sharifah Ili Nazihah berkata, perjalanan mereka dalam perniagaan itu turut berubah mengikut perkembangan zaman, khususnya dalam cara memperkenalkan produk kepada pelanggan.

Katanya, jika dahulu mereka hanya bergantung kepada jualan secara bersemuka dan pelanggan datang ke tapak perniagaan, kini media sosial menjadi antara medium penting untuk memperkenalkan Lookies.

“Dulu kami berniaga di bawah kanopi dan orang datang terus beli. Sekarang cara pemasaran sudah berubah.

“Kami kena ikut peredaran zaman kerana pelanggan banyak mengenali sesuatu produk melalui media sosial,” katanya.

Menurutnya, mereka turut memberanikan diri menggunakan media sosial untuk memperkenalkan Lookies, termasuk membuat siaran langsung.

Image from: Dua beradik Sharifah fokus  jualan kek ‘petite’
MEREKA mula mengusahakan perniagaan menjual kek sejak tahun 2018.

Katanya, pengalaman membuat siaran langsung beberapa kali membantu mereka menjadi lebih yakin selain membuka peluang untuk mendapatkan pelanggan baharu.

Sharifah Nur Aqilah pula berkongsi, pengalaman selama lapan tahun dalam bidang berkenaan mengajarnya bahawa perniagaan bukan sekadar menghasilkan produk yang sedap, sebaliknya perlu memahami kehendak pelanggan.

“Kita kena tahu apa yang pelanggan suka dan sentiasa cuba hasilkan sesuatu yang baharu. Kalau kita tidak ikut perkembangan semasa, produk kita mungkin kurang mendapat perhatian,” katanya.

Katanya, pengiktirafan sebagai Ikon Keusahawanan Politeknik 2023 turut menjadi pembakar semangat untuknya terus mengembangkan perniagaan itu.

Sharifah Nur Aqilah yang merupakan pemegang Diploma Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik berkata, pengiktirafan tersebut memberi keyakinan kepadanya bahawa bidang keusahawanan mampu menjadi pilihan kerjaya.

“Saya sangat bersyukur kerana usaha yang dilakukan mendapat pengiktirafan.

“Bagi saya, ia menjadi satu dorongan untuk terus belajar dan memperbaiki perniagaan,” katanya.

Sementara itu, Sharifah Ili Nazihah yang merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda Statistik dari Universiti Teknologi Mara, Kampus Kota Bharu, Kelantan berkata, pengalaman berniaga bersama adiknya mengajar mereka untuk saling melengkapi.

Katanya, mereka mempunyai peranan masing-masing dan akan berbincang terlebih dahulu sebelum membuat keputusan berkaitan perniagaan.

“Kami memang ada masa berbeza pendapat tetapi itu perkara biasa apabila bekerja bersama. Yang penting, kami boleh berbincang dan masing-masing faham matlamat kami untuk mengembangkan Lookies,” katanya.

Sementara itu, dia berkata, cabaran terbesar sepanjang berniaga adalah memastikan mereka terus mempunyai semangat untuk bertahan.

“Bukan setiap hari ada tempahan. Ada masa banyak, ada masa kurang. Kami pernah rasa penat dan tertanya-tanya sama ada perniagaan ini boleh bertahan. Tetapi kami cuba lihat setiap masalah sebagai pengalaman untuk kami belajar,” katanya.

Tambahnya, mereka mahu terus memperkenalkan kek petite kepada lebih ramai pelanggan di Terengganu, selain menghasilkan lebih banyak variasi.

The post Dua beradik Sharifah fokus jualan kek ‘petite’ appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved