
Dua Beradik Yatim Piatu Kongsi Detik Berdua, Ramai Insan Baik Ajak Sambut Raya Bersama
Kehilangan ibu bapa merupakan satu pengalaman yang amat perit dan sukar digambarkan dengan kata-kata.
Ia bukan sekadar kehilangan insan tersayang, malah seolah-olah sebahagian daripada jiwa turut pergi bersama mereka.
Bagi kebanyakan orang, ibu dan bapa adalah tempat bergantung, sumber kekuatan, serta pelindung sepanjang kehidupan.
Tanpa mereka, dunia terasa sunyi, kosong dan tidak lagi sama seperti sebelumnya.
"Tahun ni raya berdua je adik"
Pada saat inilah adik-beradik menjadi sumber kekuatan yang tidak ternilai dalam kehidupan seseorang.
Menerusi video yang dikongsikan oleh @hahawan_ di TikTok, dia bersama adiknya dilihat menyambut Hari Raya Aidilfitri hanya berdua dalam suasana sederhana.
Video berkenaan turut memaparkan si adik sedang bersalaman dengannya.

Menurut pemilik video, Allahyarham ibunya telah kembali ke rahmatullah akibat jangkitan COVID-19, manakala Allahyarham bapanya pula meninggal dunia akibat komplikasi hati kecut.
Kehilangan kedua-dua insan tersayang ini memberi kesan yang amat mendalam, sekali gus menjadikan dia dan adiknya sebagai anak yatim piatu yang kini saling bergantung antara satu sama lain untuk meneruskan kehidupan.
Difahamkan, adiknya sudah bekerja dan kini mereka saling berkongsi tanggungjawab dalam meneruskan kehidupan.
Walaupun masing-masing mempunyai peranan tersendiri, mereka tetap bekerjasama dan saling membantu.
Ramai insan baik hati tawar @hahawan_ beraya di rumah mereka
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata pengguna TikTok tampil memberikan kata-kata semangat serta dorongan kepada dua beradik ini agar terus tabah menghadapi dugaan hidup.
Dalam masa yang sama, ramai juga yang mengajak mereka untuk beraya di rumah masing-masing
Ada juga dalam kalangan pengguna TikTok yang berkongsi pengalaman serta nasib yang serupa, apabila masing-masing turut kehilangan ibu bapa tersayang dan terpaksa menyambut Aidilfitri tanpa kehadiran mereka.
"Abang raya haji nanti sinilah beraya rumah saya pula, ibu saya baik sangat. Abang boleh beraya dengan kita orang sekali," komen seorang warga maya.
"Tahun depan datang rumah akak ye. Mak abah akak ada ramai anak angkat, mak abah saya suka sayang anak orang dari anak sendiri
"Tetapi saya bersyukur sanggat kerana hadirkan mak abah penyayang yang suka kongsi kasih sayang mereka," komen seorang lagi warga maya.
Baca juga:


