
ALOR SETAR – Dua beranak masing-masing sebagai pengarah dan pengarah urusan syarikat Taavekun Manufacturing Sdn. Bhd. mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menggunakan dokumen palsu dalam permohonan tender baja, Januari lalu.
Tertuduh, Muhammad Fadzil Md. Fadzilah, 30, dan bapanya, Md. Fadzilah Ariffin, 66, membuat pengakuan itu selepas empat pertuduhan terhadap mereka dibacakan berasingan di hadapan Hakim N. Priscilla Hemamalini.
Mengikut pertuduhan pertama, Muhammad Fadzil sebagai pengarah syarikat didakwa memberi dokumen berkaitan data kewangan kepada Pengerusi Jawatankuasa Pembuka Tender di Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) yang mengandungi pernyataan palsu tentang butiran matan, dengan niat hendak memperdaya.
Dokumen itu digunakan bagi tender bertajuk membekal, menghantar dan mengedar baja sebatian di bawah Skim Insentif Pengeluaran Padi (SIPP) di Kawasan Muda untuk keperluan tanaman padi musim satu dan musim dua, tahun ini.
Antara pernyataan palsu itu adalah pinjaman tetap yang akan atau layak diperolehi untuk pembekalan berjumlah RM7 juta; surat jaminan kredit (RM8 juta) dan insurans jaminan (RM15 juta) sedangkan syarikatnya tidak pernah diberi kemudahan itu oleh Permodalan Risda Berhad.
Dalam pertuduhan kedua, dia didakwa secara tidak jujur menggunakan dokumen palsu iaitu surat Risda bertarikh 6 Januari 2026 yang dilampirkan di dalam permohonan tender terbabit.
Bagi pertuduhan terhadap Md. Fadzilah yang juga Pengarah Urusan Taavekun Manufacturing, dia didakwa bersubahat dengan anaknya bagi setiap pertuduhan itu yang mana kesemuanya didakwa dilakukan di MADA, kira-kira pukul 2.30 petang, 11 Januari lalu.
Pendakwaan terhadap Muhammad Fadzil dikemukakan di bawah Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang memperuntukan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai butir matan palsu, jika sabit kesalahan.
Dia juga berhadapan hukuman penjara maksimum dua tahun, atau dengan denda, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan di bawah Seksyen 471 Kanun Keseksaan.
Manakala, Md. Fadzilah pula didakwa mengikut Seksyen 28(1)(c) Akta SPRM 2009 dan Seksyen 109 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman sama, jika sabit kesalahan.
Prosiding dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya M. Kalaivaanan dan kedua-dua tertuduh diwakili peguam, Fahmi Adilah.
Mahkamah menetapkan jaminan sebanyak RM20,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh dan menetapkan 1 November ini sebagai tarikh sebutan semula kes. – KOSMO! ONLINE
The post Dua beranak dituduh guna dokumen palsu mohon tender baja appeared first on Kosmo Online.






