
SANDAKAN: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang pegawai kanan sebuah agensi kerajaan kerana disyaki mengemukakan dua dokumen mengandungi butiran palsu berkaitan tuntutan berjumlah kira-kira RM15,000.
Suspek wanita berusia 30-an itu ditahan pada 10 pagi Selasa (6 Okt) di pejabat SPRM Sandakan.
Difahamkan, kedua-dua dokumen itu berkaitan tuntutan perbelanjaan mesyuarat dan perbelanjaan yang ditanggung ketika lawatan kerja rasmi pegawai kanan kementeriannya.
Kesalahan itu dipercayai dilakukan antara 2023 dan 2024.
Pengarah SPRM Sabah Datuk Mohd Fuad Bee Basrah mengesahkan penahanan itu dan berkata kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.
Beliau berkata suspek dijangka didakwa di Mahkamah Sesyen Sandakan hari ini (Khamis).






