Dua beranak maut dihempap kontena: Pemandu lori ditahan bantu siasatan

19 Oct 2026 • 11:04 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Dua beranak maut dihempap kontena: Pemandu lori ditahan bantu siasatan
Kontena tersebut dipercayai terjatuh lalu menghempap kereta Toyota Avanza yang dinaiki kedua-dua mangsa ketika melalui kawasan berkenaan.

KOTA KINABALU - Seorang pemandu lori ditahan bagi membantu siasatan kemalangan yang meragut nyawa dua beranak selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Avanza dinaiki mereka dihempap kontena di Jalan Sepanggar di sini pada petang Ahad.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Shahrudin Mat Husain berkata, susulan kejadian itu pihaknya menahan pemandu lori terbabit dan sedang menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca sebenar kemalangan.

"Pemandu lori berusia 49 tahun telah ditahan bagi membantu siasatan. Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Polis sedang menjalankan siasatan lanjut, termasuk mengesan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan mendapatkan keterangan saksi bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Bercakap mengenai siasatan awal, Shahrudin berkata, pihaknya mendapati kejadian berlaku ketika sebuah lori kontena sedang menjalankan kerja mengangkat kontena menggunakan kren di bahu jalan.

"Kontena tersebut dipercayai terjatuh lalu menghempap kereta Toyota Avanza yang dinaiki kedua-dua mangsa ketika melalui kawasan berkenaan.

"Kedua-dua mangsa tersepit di dalam kenderaan sebelum berjaya dikeluarkan oleh pihak bomba sekitar jam 9.55 malam.

"Mereka kemudiannya disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan dari Hospital Likas pada jam 9.58 malam," katanya.

Menurutnya, mayat kedua-dua mangsa kemudian dihantar ke Jabatan Forensik, Hospital Queen Elizabeth I (HQE I), di sini, untuk tujuan bedah siasat.

Dalam pada itu, Shahrudin meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian supaya menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Brymenedren Godon di talian 010-7768802 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan mengutamakan keselamatan ketika berada di jalan raya.

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved