
KOTA KINABALU – Dua beranak maut selepas sebuah kontena terjatuh dan menghempap kenderaan mangsa di Jalan Sepanggar berhampiran Pelabuhan Sepanggar, di sini semalam.
Kemalangan pada pukul 6.15 petang itu meragut nyawa Mohd Jadi Pelbi, 53, dan anak perempuannya, Norfaieza Mohd Jadi, 24.
Kedua-dua mangsa yang menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Avanza disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat tersepit.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Shahrudin Mat Husain berkata, siasatan awal mendapati lori kontena jenis Hino itu berhenti di lorong kiri untuk melakukan kerja-kerja memunggah kontena yang diletakkan di bahu jalan.
“Ketika kejadian, pemandu treler sedang menaikkan kontena ke atas treler, manakala Toyota Avanza yang dinaiki mangsa berada di lorong kanan menghala ke Pelabuhan Sepanggar.
“Bagaimanapun, kontena tersebut dikatakan hilang keseimbangan secara tiba-tiba sebelum terjatuh ke kanan dan menghempap kenderaan dinaiki dua beranak tersebut,” katanya ketika dihubungi.
Beliau berkata, akibat kejadian itu, kedua-dua mangsa tersepit di dalam MPV berkenaan.
Operasi mengeluarkan dua beranak itu dilakukan oleh pasukan bomba dengan bantuan dua kren bagi mengalihkan kontena sebelum kereta yang terperangkap di bawahnya dikeluarkan selepas lebih tiga jam.
Anggota bomba mengeluarkan mayat kedua-dua mangsa pada pukul 9.55 malam.
Kematian dua beranak itu di lokasi kejadian disahkan oleh pasukan perubatan Hospital Likas pada pukul 9.58 malam.
Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik, Hospital Queen Elizabeth I (HQE I) untuk dibedah siasat.
Tambah beliau, pemandu treler berusia 49 tahun ditahan untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Orang ramai maklumat berhubung kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Brymenedren Godon di talian 010-7768802 atau mana-mana balai polis berhampiran.





