
KOTA KINABALU – Insiden menyayat hati melibatkan dua beranak yang maut dihempap sebuah kontena di Jalan Sepanggar, berhampiran Pelabuhan Sepanggar di sini, petang semalam berlaku ketika mereka dalam perjalanan pulang ke rumah.
Difahamkan, dalam kejadian pada pukul 6.20 petang itu, Mohd Jadi Pelbi, 53, baru mengambil anaknya, Norfaieza, 24, pulang dari bekerja di Manggatal.
Dalam kejadian itu, kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Avanza yang dinaiki dua beranak itu dihempap kontena yang hilang keseimbangan ketika sedang dipindahkan ke ke sebuah treler.
Dua beranak tersebut menetap di Kuala Baru, di sini.
Pemangku Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kota Kinabalu, Mohd. Hannis Mokthar berkata, pihaknya menerima panggilan pada pukul 6.31 petang sebelum 26 anggota bersama jentera dikejarkan ke lokasi.
Beliau berkata, berdasarkan keterangan saksi, sebuah treler dikatakan sedang mengangkat kontena di tepi jalan berhampiran Pelabuhan Sepanggar.
Bagaimanapun, katanya, kontena tersebut dipercayai hilang keseimbangan lalu terbalik dan menghempap MPV mangsa yang melalui kawasan berkenaan.
“Setiba tiba di lokasi, pasukan bomba memulakan operasi menyelamat, tetapi berdepan kesukaran kerana kontena tersebut perlu diangkat terlebih dahulu.
“Dua kren kemudian tiba bagi membantu mengangkat kontena sebelum kenderaan yang dinaiki mangsa dikeluarkan,” katanya dalam kenyataan, di sini malam tadi.
Seterusnya, katanya, pihak bomba menggunakan peralatan khas untuk mengeluarkan kedua-dua mangsa yang tersepit.
“Bagaimanapun, kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan.
“Mayat mereka diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut. Operasi ditamatkan sepenuhnya pada pukul 10.30 malam,” katanya.
The post Dua beranak ‘pergi’ bersama selepas jemput anak pulang bekerja appeared first on Kosmo Online.





