
BESUT: Bukan sekadar menghasilkan bunyi yang rancak mengiringi paluan dikir dan silat, setiap keping kayu serta kulit yang dibentuk menjadi rebana mempunyai cerita tersendiri hasil air tangan bapa dan anak di Kampung Gong Ubi Keling di sini.
Bagi Hapizi Hussin, 44, membuat rebana bukan sekadar mencari pendapatan, sebaliknya minat yang sebati dalam dirinya sejak kecil selepas sering membantu bapanya, Hussin A. Ghani, 67, dan arwah datuknya, A. Ghani Yusof.
Katanya, pembuatan rebana yang diwarisinya sejak tiga generasi diancam kepupusan apabila tiada lagi pelapis muda yang mampu menghasilkannya.
“Daripada kecil saya sudah ikut datuk dan ayah. Pada mulanya hanya membantu tetapi lama-kelamaan timbul minat dan mula membuat sendiri pada 1999 sebelum membina bengkel.
“Datuk dahulu buat rebana untuk kegunaan sendiri antaranya bagi permainan dikir dan silat. Namun, saya dan ayah pula melihat peluang dan permintaan yang tinggi terhadap rebana ini,” katanya ketika ditemui.
Menurut Hapizi, melihat peluang itu, dia dan bapanya menghasilkan rebana bagi pasaran seluruh negara dan permintaan terhadap alat muzik tradisional itu meningkat susulan tiada persaingan.
Katanya, bapanya belajar menghasilkan rebana ketika berumur sembilan tahun manakala dirinya pula membuat rebana secara serius ketika berusia 18 tahun.
“Sekarang permintaan banyak kepada rebana dikir, gendang silat, rebana ubi dan rebana untuk dijadikan cenderamata. Rebana dikir juga sudah dibuat dengan saiz kecil dan menjadi sebahagian daripada cenderamata dan kami menghantarnya ke Bazar Buluh Kubu, Kota Bharu, Kelantan dan beberapa lokasi lain,” katanya.
Hapizi berkata, menghasilkan rebana tidak boleh secara tergesa-gesa kerana setiap bahagian perlu dibuat dengan teliti bagi memastikan bunyi yang dihasilkan berkualiti.
Katanya, pembuatan rebana bukan hanya bergantung pada jenis bahan, malah melodi yang bakal dihasilkan perlu dititikberatkan.
Menurutnya, mereka menggunakan kayu pauh, nangka dan cempedak kerana tekstur kayunya yang mempunyai corak tersendiri serta kualitinya sesuai untuk menghasilkan alat muzik berkenaan. – UTUSAN
The post Dua beranak pertahan warisan rebana appeared first on Utusan Malaysia.

