
BESUT: Dua beranak yang dilaporkan tersesat ketika mencari akar kayu di kawasan hutan berhampiran kawasan rekreasi La Hot Spring di sini, ditemukan selamat kira-kira pukul 12.40 tengah hari ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jertih, Mustafa Ismail berkata, Adam Adnan, 25, dan bapanya, Adnan Mohamad, 57, ditemukan pada jarak tiga kilometer daripada pusat operasi mencari dan menyelamat.
“Ketika ditemukan, mangsa berada dalam keadaan lemah. Kedua-dua mangsa dibawa keluar kira-kira pukul 2.40 petang dan mereka kemudian dibawa ke Hospital Besut untuk rawatan lanjut,” katanya ketika ditemui pemberita di sini.
Terdahulu, dua beranak itu dilaporkan tersesat semasa mencari akar kayu di kawasan hutan berhampiran kawasan rekreasi La Hot Spring sejak pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Besut, Superintenden Rozaime Ab Rahim berkata, mereka masuk ke hutan berkenaan pagi semalam namun kira-kira 3.30 petang, seorang daripada mereka menghubungi ahli keluarga dan memaklumkan tersesat. – UTUSAN
The post Dua beranak sesat di Besut ditemukan selamat appeared first on Utusan Malaysia.






