
BESUT : “Suami sempat mengirim pesanan menerusi aplikasi WhatsApp memberitahu dia tidak larat dan pitam ketika sesat mencari akar kayu bersama ayah.
Demikian kongsi Nur Aliyah Zamin, 20, isteri kepada Adam Adnan, 25, yang sesat bersama bapanya, Adnan Mohamad, 57, di kawasan hutan berhampiran kawasan rekreasi La Hot Spring di sini, sejak semalam.
Nur Aliyah berkata, mereka sekeluarga datang dari Kulim, Kedah ke Kampung La sejak Rabu lalu susulan suaminya dan mentuanya ingin mencari akar kayu sambil bercuti.
“Suami dan ayah keluar mencari akar kayu pada Khamis lalu. Kira-kira pukul 6.30 petang itu, dia mengirim mesej memberitahu tidak dapat turun pada hari sama kerana kepenatan dan keluar keesokkannya.
“Ketika itu, saya tidak fikir apa-apa yang buruk berlaku sehingga suami kembali mengirim pesanan menerusi aplikasi WhatsApp kira-kira pukul 7 pagi semalam memaklumkan dia dalam perjalanan mencari jalan keluar.
“Bagaimanapun sehingga pukul 3 petang saya gagal menghubunginya dan terus membuat laporan di Balai Polis Jerteh, ” katanya ketika ditemui di Kampung La.
Nur Aliyah berkata, bagaimanapun suaminya kembali menghubunginyaya pagi tadi dan saya terus memaklumkan perkara itu kepada pasukan penyelamat.
Dia berharap suami dan bapa mentuanya dapat segera ditemukan dalam keadaan selamat.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Besut, Superintenden Rozaime Ab Rahim berkata, Adam Adnan menghubungi isterinya kira-kira pukul 10 pagi ini dan menghantar lokasi terakhir mereka melalui aplikasi WhatsApp.
“Berdasarkan lokasi tersebut, pasukan penyelamat kita bergerak untuk mengesan kedudukan kedua-dua mangsa. Difahamkan, mereka dalam keadaan lemah dan kelaparan kerana tidak membawa sebarang bekalan makanan,” katanya.
Sehingga pukul 1 petang ini, operasi mencari dan menyelamat mangsa masih diteruskan. – UTUSAN
The post Dua beranak sesat di Besut: Suami pertama kali ikut bapa cari akar kayu appeared first on Utusan Malaysia.





