
BESUT – Seorang wanita resah suami dan bapa mentuanya dikhuatiri hilang selepas tersesat di kawasan hutan berhampiran kawasan Air Panas La, Hulu Besut, di sini, sejak kelmarin.
Nur Aliah Zamin, 20, berkata,suaminya, Adam Adnan, 25, mengikut bapanya Adnan Mohamad, 57, memasuki kawasan hutan terbabit untuk mencari akar kayu pada pukul 7 pagi, Khamis lalu.
“Mereka mahu mencari akar kayu untuk berubat. Dalam pukul 3 petang, kelmarin, saya dihubungi suami (Adam) memberitahu sudah tersesat.
“Begitupun suami memberitahu dia dan bapa mentua saya tidak berputus asas mencari jalan keluar dari hutan berkenaan,” katanya ketika ditemui di Kampung La, di sini, hari ini.
Nur Aliah berkata, begitupun suami dan bapa mentua tetap gagal mencari jalan keluar biarpun sudah lebih tujuh jam berjalan kaki di dalam hutan itu.
Katanya, suami sempat menghubungi mahu bermalam di dalam hutan tersebut kerana sudah kepenatan sebelum berhasrat terus cuba mencari jalan keluar pada keesokan harinya.
“Kali terakhir kami dapat berhubung pada pukul 10 pagi semalam, dia (Adam) sempat menghantar kordinat kedudukan semasa mereka di dalam hutan terbabit.
“Begitupun, suami saya mula gagal dihubungi pada pukul 3.30 petang semalam menyebabkan kami sekeluarga panik dan memutuskan untuk memohon bantuan pihak berkuasa,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Resah suami, bapa mentua sesat dalam hutan sejak Khamis appeared first on Kosmo Online.





