'Dua hari Azuar Firdaus asyik menangis dan takut' - Ibu mangsa serangan anjing liar

4 Oct 2026 • 1:56 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: 'Dua hari Azuar Firdaus asyik menangis dan takut' - Ibu mangsa serangan anjing liar
Rosnani (kanan) menunjukkan gambar kecederaan anaknya. Foto SINAR HARIAN / ADILA SHARINNI WAHID
Image from: 'Dua hari Azuar Firdaus asyik menangis dan takut' - Ibu mangsa serangan anjing liar
Azuar Firdaus (kiri) yang makin pulih. Foto SINAR HARIAN / ADILA SHARINNI WAHID

KOTA BHARU - Kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun yang parah selepas diserang sekumpulan anjing liar di Pantai Kuala Kemasin, Bachok kini dipantau bagi mengelak risiko jangkitan rabies.

Ibunya, Rosnani Mat Salleh, 46, berkata, Azuar Firdaus Zuraiman menerima suntikan vaksinasi anti-rabies selain turut diberikan antibiotik selepas menjalani prosedur mencuci luka dan jahitan di kepala serta leher yang mengambil masa kira-kira lima jam susulan serangan itu.

Menurutnya, keadaan Azuar Firdaus selama dua hari selepas insiden serangan itu hanya menangis dalam wad dan mengadu takut bagaimanapun kini lebih baik serta sudah boleh bercakap seperti biasa.

“Sekarang dia sudah boleh jawab apabila ditanya dan ceritakan semula apa yang berlaku.

“Doktor beri suntikan anti-rabies dan antibiotik. Sekarang masih perlu dipantau mungkin dalam tempoh hingga tiga minggu,” katanya ketika ditemui di pekarangan Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di sini pada Ahad.

Dalam kejadian jam 9.30 pagi Khamis lalu, Azuar Firdaus diserang sekumpulan anjing ketika bermain pasir bersama lima saudaranya di kawasan pantai berkenaan.

Murid Tahun Dua Sekolah Kebangsaan (SK) Tawang itu mengalami beberapa luka gigitan termasuk kesan taring yang menembusi kulit di bahagian kepala dan leher selain kecederaan pada belakang badan dan lengan.

**media[3667192]**

Mangsa melarikan diri sebelum terjatuh dan diserang beberapa ekor anjing terbabit sehingga ke dalam pantai sebelum seorang pekerja resort berhampiran datang membantu menghalau haiwan berkenaan.

Dia kemudian dibawa ke Klinik Kesihatan Balai, Bachok oleh bapanya, Zuraiman Mahmod, 47, sebelum dirujuk ke HRPZ II di sini untuk rawatan lanjut.

Kata Rosnani, kejadian berkenaan menimbulkan kebimbangan memandangkan kewujudan anjing liar di kawasan pantai tersebut bukan perkara baharu.

“Anjingi ni dah lama di situ, lebih 10 ekor berkeliaran di sekitar kawasan pantai terutama dekat tong sampah,” katanya.

Dalam pada itu, mangsa menerima lawatan daripada Timbalan Pengarah Sektor Pembangunan Murid Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Negeri Kelantan, Norazam Mat Nor dan Guru Besar SK Tawang, Mohamed Fhadhil Hassan.

Norazan berkata, kunjungan beliau mewakili Pengarah JPN Kelantan, Siti Norina Muhamad sebagai tanda keprihatinan atas kejadian malang yang menimpa murid berkenaan.

Katanya, pihak JPN sedia memberikan bantuan yang diperlukan termasuk membabitkan pembelajaran murid berkenaan sekiranya dia perlu ditempatkan di hospital dalam beberapa tempoh.

"Bergantung kepada prosedur hospital tapi dimaklumkan mangsa boleh keluar wad hari ini bagaimanapun tengok pada keputusan nanti," katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved