SHAH ALAM - Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke memaklumkan penetapan tarikh peletakan jawatan sebagai Menteri Pengangkutan yang bakal berkuat kuasa sebaik sahaja Datuk Seri Najib Tun Razak melangsaikan denda RM50 juta sudah dipersetujui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Memetik laporan The Straits Times, Anthony berkata, kesepakatan itu dibuat ketika beliau mengemukakan surat peletakan jawatan kepada Anwar.
"Sudah tentu ada pihak mendakwa ini sekadar lakonan, tindakan politik dan sebagainya.
"Tetapi, saya tetap berpegang pada pendirian ini. Sebaik sahaja beliau (Najib) pulang ke rumah, saya mesti berundur.
"Saya tidak akan berdolak-dalik. Beliau pulang, saya pergi," katanya dalam satu wawancara baru-baru ini.
Pada 19 September lalu, Anthony sewaktu sidang akhbar mesyuarat tergempar Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP mengumumkan peletakan jawatan sebagai Menteri Pengangkutan.
Ia sebagai tindak balas DAP terhadap keputusan pengampunan bersyarat daripada Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim ke atas Najib dengan baki hukuman penjara dijalani secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028.
Anthony menyerahkan surat peletakan jawatannya kepada Anwar pada 28 September lepas.
Namun, penjelasannya pada 29 September bahawa peletakan jawatan itu hanya berkuat kuasa selepas bekas Ahli Parlimen Pekan tersebut menjelaskan denda RM50 juta mendapat kritikan banyak pihak.
Pada 18 September lalu, Najib yang juga bekas Perdana Menteri dibenarkan menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah, tertakluk kepada syarat menjelaskan denda RM50 juta susulan sabitan kes SRC International.
Dalam perkembangan lain, Anthony mengakui meskipun DAP terus mendapat sokongan kuat pengundi Cina, ia tidak memadai untuk membentuk Kerajaan Persekutuan.
Ahli Parlimen Seremban itu berpendapat bahawa kekecewaan yang semakin meningkat dalam kalangan penyokong teras parti turut menjadi kebimbangan.
Beliau dalam masa sama menegaskan, DAP tidak akan sesekali mengambil mudah sokongan masyarakat Cina, namun parti itu perlu membina kesepakatan bersama rakan dalam gabungan.
"Kami tahu situasi ini kadang-kadang menyulitkan, namun itulah hakikat politik Malaysia.
"DAP tidak boleh membentuk kerajaan secara bersendirian tanpa kerjasama dengan parti lain.
"Ini hakikat yang perlu kita terima, kita hanya boleh berusaha sejauh mungkin bergantung pada hujah yang objektif dan meyakinkan untuk mencapai sesuatu dalam sistem," ujar beliau.
Tambah Anthony lagi, pintu parti sentiasa terbuka selepas Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) walaupun terdapat bantahan daripada sebahagian ahli akar umbi terhadap DAP seperti Pas, UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Beliau turut merujuk keputusan DAP untuk bekerjasama dengan UMNO selepas pilihan raya umum (PRU) sebelum ini bagi membentuk Kerajaan Persekutuan pimpinan Anwar sebagai bukti bahawa pakatan politik boleh berubah mengikut keadaan.
"Saya tidak menutup pintu kepada sesiapa. Saya memegang prinsip bahawa politik kini perlu bersifat anjal.
"Sudah tentu bukan tanpa prinsip atau prasyarat kerana ia bergantung kepada keadaan dan apa yang terbaik untuk negara bergerak ke hadapan," jelasnya.
Pada pandangan beliau, pihaknya yakin naratif penyatuan Melayu yang dilaungkan UMNO dan Pas tidak dapat bertahan lama.
"Kekalahan di Negeri Sembilan sebenarnya hikmah di sebalik duka buat kami. Mereka (UMNO dan Pas) bercakap mengenai penyatuan Melayu serta pembentukan kerajaan negeri yang kukuh untuk menyelesaikan kemelut istana. Apa keputusan mereka buat? Mereka menyingkirkan pemerintah negeri.
"Kini, orang Melayu di seluruh negara boleh lihat sendiri tindakan kerajaan UMNO dan Pas. Mesejnya, DAP terlepas daripada beban sebegini buat masa ini.
"Dalam erti kata lain, momentum penyatuan Melayu tidak semestinya dapat dipertahankan dari segi trend pilihan raya," kata bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chennah itu lagi.






