Dua kali air mata Zara Qairina keluar ketika di hospital - Ibu saudara

19 May 2026 • 12:01 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Dua kali air mata Zara Qairina keluar ketika di hospital - Ibu saudara
Allahyarham Zara Qairina

KOTA KINABALU - Saksi ke-71 inkues kematian Zara Qairina Mahathir memberitahu Mahkamah Koroner bahawa beliau melihat sebanyak dua kali air mata keluar daripada mata remaja itu yang sedang kritikal di hospital selepas dilaporkan terjatuh dari tingkat tiga bangunan.

Nur Shira Abdullah, 46, berkata, dia dimaklumkan mengenai kejadian yang menimpa anak saudaranya itu oleh adik iparnya sendiri iaitu ibu Zara Qairina.

"Di hospital, saya melihat Zara berada dalam keadaan tidak sedarkan diri dan kritikal serta menerima rawatan rapi. Doktor memaklumkan bahawa keadaan Zara sangat serius dan dia berada dalam keadaan 'brain death'.

"Zara dipantau menggunakan mesin bantuan pernafasan dan mesin pemantauan jantung. Namun, pada jam lebih kurang 1 tengah hari mesin pemantauan jantung terpadam secara tiba-tiba dan saya memaklumkan perkara tersebut kepada jururawat," katanya semasa membacakan kenyataan bertulisnya di sini, pada Selasa.

Dakwanya, pihak hospital beberapa kali menyarankan agar keluarga mempertimbangkan untuk menghentikan bantuan pernafasan oksigen, pada 16 dan 17 Julai 2025 dengan penjelasan tentang kemungkinan komplikasi jika rawatan diteruskan.

"Pada awalnya keluarga bersetuju berdasarkan penjelasan tersebut, namun proses untuk menghentikan tidak sempat dilakukan kerana mesin pemantau jantung (heart monitor) terhenti secara tiba-tiba.

"Pada masa itu, saya berada di hospital bersama Zara kerana ibunya dan suami saya tidak ada kerana menguruskan laporran polis di balai polis. Zara disahkan meninggal dunia sekitar anggaran jam 4 hingga 4.30 petang oleh seorang doktor yang bertugas dan bersama saksi Pegawai Penyiasat Wong," katanya.

Berdasarkan pemerhatiannya di hospital, Nur Shira memaklumkan bahagian kepala Zara Qairina terdapat kawasan rambut yang dicukur namun tidak melihat luka terbuka besar atau kesan jahitan.

"Pada bahagian kepala sebelah kiri berhampiran kawasan rambut yang dicukur, apabila saya menyentuhnya, saya merasakan keadaan seperti lembik dan berair di bahagian dalam kepala.

"Pada bahagian belakang badan, saya melihat kesan lebam yang jelas terutama di kawasan rusuk dalam bentuk garis panjang dari pinggang hingga ke bahu dan lebam tersebut kelihatan berwarna biru kehitaman.

"Saya juga melihat kesan lebam halus seperti urat yang menjalar di bahagian belakang badan. Saya tidak melihat tulang kaki yang terkeluar secara luaran namun saya melihat keadaan buku lali yang kelihatan terkehel," katanya.

Nur Shira juga mendakwa mereka tidak mempunyai pengetahuan mengenai prosedur bedah siasat susulan kejadian yang menimpa Zara Qairina.

"Pada masa itu, kami tidak mempunyai pengetahuan mengenai prosedur bedah siasat atau kepentingannya.

"Pada pemerhatian saya, tiada penerangan jelas diberikan kepada kami mengenai prosedur post-mortem. Seorang pegawai perubatan telah memberikan borang kepada kami untuk diisi dan ditandatangani tanpa penerangan terperinci mengenai kandungan, tujuan atau implikasinya.

"Kami menandatangani borang tersebut dalam keadaan emosi yang terganggu dan tanpa memahami sepenuhnya implikasi berkaitan prosedur tersebut," katanya.

Katanya lagi, semasa di hospital, adik iparnya, Noraidah Lamat berada dalam keadaan sangat sedih, trauma dan tidak stabil emosi.

"Saya melihat Noraidah mengusap wajah Zara berkali-kali sambil menangis.

"Semasa berada di tanah perkuburan selepas selesai urusan pengebumian, saya ada mendengar seorang Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (PK HEM) daripada pihak sekolah menasihatkan Noraidah supaya tidak 'menularkan' kes tersebut.

"Saya juga mendengar Noraidah bertanyakan mengenai buku dan barang-barang peribadi Zara dan PK HEM sekolah tersebut memaklumkan bahawa pihak sekolah akan membantu mengemaskan barang-barang Zara serta meminta Noraidah menghubungi guru berkaitan melalui WhatsApp," dakwanya.