Saksi dedah ibu bapa Zara Qairina tak duduk sebumbung

LocalFamily & Parenting
19 May 2026 • 7:12 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Saksi dedah ibu bapa Zara Qairina tak duduk sebumbung
Saksi ke-71 dalam inkues kematian Zara Qairina Mahathir memberitahu Mahkamah Koroner bahawa ayah kepada remaja tersebut sudah tidak tinggal sebumbung.

KOTA KINABALU - Saksi ke-71 dalam inkues kematian Zara Qairina Mahathir memberitahu Mahkamah Koroner di sini bahawa ayah kepada remaja tersebut sudah tidak tinggal sebumbung dengan isterinya, Noraidah Lamat yang juga ibu kepada remaja tersebut.

Nur Shira Abdullah, 46, yang juga ibu saudara Zara Qairina berkata, kedua-dua ibu bapa pelajar tersebut masih mempunyai ikatan perkahwinan.

Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Fairuz Johari yang juga pegawai pengendali dalam inkues kematian Zara Qairina sebelum itu bertanya kepada saksi adakah pasangan itu masih berkahwin dan duduk bersama.

"Sehingga hari ini masih berkahwin. Saya tahu ayah dan ibu Zara sudah tidak tinggal sebumbung sejak Zara berusia lebih kurang tiga ke empat tahun," katanya semasa memberikan keterangannya di sini  pada Selasa.

Ditanya lanjut, adakah saksi tahu berkenaan bapa Zara Qairina ada melawat anak mereka itu walaupun tidak tinggal bersama.

"Saya tahu ayah Zara tidak datang melawat Zara," jelasnya.

Nur Shira turut memaklumkan bahawa ayah Zara Qairina pernah bercerai sebelum berkahwin dengan Noraidah.

Beliau juga tahu bahawa Zara Qairina mempunyai dua adik beradik tiri dan pernah berjumpa dengan mereka.

Ditanya bagaimana hubungan Zara Qairina dengan adik beradik tirinya, saksi menyatakan bahawa beliau tidak pasti mengenainya.

Sementara itu, saksi mengakui bahawa kenyataannya sebelum ini mengenai Zara Qairina yang disifatkan stabil, ceria dan tidak mempunyai masalah keluarga hanyalah berdasarkan pemerhatian peribadinya sebagai ibu saudara kepada remaja berkenaan.

Menjawab soalan Mohd Fairuz juga, Nur Shira berkata, beliau bukan pakar psikologi atau forensik dan pandangan tersebut dibuat berdasarkan pemerhatiannya sebagai seorang ibu yang juga mempunyai anak remaja sebaya Zara Qairina.

"Itu pemerhatian saya sebagai seorang ibu yang juga ada anak remaja sebaya Zara. Saya bukan pakar psikologi atau forensik, itu pandangan umum saya," katanya.

Dalam prosiding sama, Nur Shira turut mengakui bahawa pengetahuannya mengenai keadaan harian Zara Qairina di sekolah adalah terhad kerana remaja itu tinggal di asrama dan mereka hanya berhubung melalui panggilan video.

Bagaimanapun katanya, Noraidah sering berkongsi perkembangan dan aktiviti Zara Qairina dengannya walaupun beliau tidak dapat membuat pemerhatian secara fizikal terhadap remaja itu setiap hari.