
SINGAPURA: Dua kapal kontena berdaftar di Singapura diserang objek tidak dikenal pasti ketika melalui Selat Hormuz, dengan sebuah daripadanya karam selepas mengalami kerosakan dan terbakar, menurut Penguasa Maritim dan Pelabuhan Singapura (MPA).
Lapor CNA, kedua-dua kapal itu, GFS Pride dan GFS Giselle, dilaporkan diserang masing-masing pada 13 dan 14 Oktober.
MPA berkata, GFS Pride mengalami kerosakan sebelum kebakaran berlaku di atas kapal, yang kemudiannya karam. Kesemua 21 anak kapal berjaya dipindahkan dengan selamat dan tiada kecederaan dilaporkan.
Sementara itu, GFS Giselle mengalami kerosakan pada badan kapal, namun masih mampu bergerak menggunakan enjinnya sendiri ke kawasan labuh yang selamat. Kesemua 22 anak kapal dilaporkan selamat dan tiada kecederaan dilaporkan.
Tiada warga Singapura dalam kalangan anak kapal kedua-dua kapal berkenaan.
Menurut data agensi perkapalan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Pertubuhan Maritim Antarabangsa (IMO), insiden melibatkan GFS Pride menjadikannya kapal kedua yang tenggelam sejak perang antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran bermula pada 28 Februari lalu.
MPA berkata, pihaknya sedang berhubung dengan syarikat pengurusan kedua-dua kapal itu dan memantau perkembangan situasi berkenaan dengan teliti.
“MPA amat bimbang dengan serangan berterusan terhadap kapal komersial di Selat Hormuz, termasuk insiden terbaharu yang membabitkan dua kapal berdaftar Singapura,” menurut agensi itu.
MPA menyifatkan serangan berkenaan sebagai tidak berasas, tidak boleh dibenarkan dan melanggar undang-undang antarabangsa.
“Semua tindakan yang menjejaskan perkapalan antarabangsa mesti mematuhi undang-undang antarabangsa sepenuhnya, khususnya Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang-Undang Laut (UNCLOS), serta tidak boleh membahayakan keselamatan pelaut dan kapal di laut,” menurut kenyataan itu.
The post Dua kapal Singapura diserang di Selat Hormuz, satu karam appeared first on Utusan Malaysia.



