Harga minyak ‘senjata’ Iran pengaruhi pilihan raya AS

WorldPolitics
15 Oct 2026 • 9:30 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Harga minyak ‘senjata’ Iran pengaruhi pilihan raya AS

TEHERAN: Iran menggunakan taktik baharu untuk menyerang kapal yang melalui Selat Hormuz bagi mengekalkan harga minyak pada paras tinggi dan mempengaruhi pilihan raya pertengahan penggal Amerika Syarikat (AS).

Dua pegawai kanan Iran memberitahu Reuters, strategi baharu itu melibatkan perubahan jenis dan kekerapan serangan terhadap kapal yang dianggap melanggar sekatan ditetapkan Teheran.

Menurut seorang daripada pegawai itu, Iran mula menggunakan taktik serangan berbeza kira-kira 10 hari lalu, sekali gus meningkatkan serangan terhadap kapal terbabit.

Kedua-dua pegawai itu berkata, antara matlamat strategi berkenaan adalah mempengaruhi keputusan pilihan raya pertengahan penggal AS.

“Matlamatnya adalah untuk menggagalkan usaha AS dan sekutunya menurunkan harga minyak global,” kata pegawai itu.

Pegawai berkata, keputusan untuk menerima pakai strategi baharu dibuat di peringkat tertinggi kepimpinan Iran dan diselaraskan sepenuhnya merentasi sistem pemerintahan negara itu.

Seorang pegawai tentera AS mengesahkan Iran mengubah taktik serangan dengan menggunakan pengintip tanpa senjata yang menaiki bot kecil untuk mengenal pasti sasaran, termasuk kapal tentera laut AS, selepas Washington memusnahkan sebahagian besar keupayaan radar mereka.

Iran berusaha mengukuhkan kawalan ke atas Selat Hormuz sejak AS dan Israel melancarkan serangan terhadap negara itu pada 28 Februari lalu.

Teheran mengehadkan laluan kapal melalui selat berkenaan, yang sebelum perang mengendalikan kira-kira satu perlima daripada perdagangan minyak dan gas asli cecair (LNG) global, bagi meningkatkan tekanan terhadap Washington.

Ancaman dan serangan Iran menyebabkan trafik perkapalan melalui laluan strategik itu merosot dengan ketara, sekali gus mendorong kenaikan harga minyak, meskipun sebahagian bekalan masih melalui selat berkenaan.

Perang yang menyebabkan AS menanggung belanja sebanyak AS$3 bilion (RM12.6 bilion) sebulan, menjadi isu utama dalam kempen pilihan raya pertengahan penggal negara itu bulan depan, yang akan menentukan penguasaan Kongres.

Presiden AS, Donald Trump, sedang mempertimbangkan langkah seterusnya terhadap Iran, namun menegaskan tidak akan melancarkan serangan baharu sebelum pilihan raya berkenaan.

The post Harga minyak ‘senjata’ Iran pengaruhi pilihan raya AS appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved