
KENINGAU: Dua lagi Pusat Sains akan diwujudkan tahun ini di Tawau dan Sandakan menerusi kerjasama Petroliam Nasional Bhd (Petronas) bagi meningkatkan minat pelajar dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk Mohd Arifin Mohd Arif berkata, setakat ini Pusat Sains hanya ada di Keningau iaitu yang pertama diwujudkan.
“Saya sudah berhubung dengan Naib Presiden Petronas baru-baru ini, termasuk juga Ketua Petronas Sabah dan Sarawak.
“Mereka memaklumkan bahawa tahun ini akan dimulakan Pusat Sains untuk di Tawau dan Sandakan. Selepas itu kita akan mohon pula ke daerah-daerah lain secara berperingkat,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Minggu Perpustakaan 2024 di Perpustakaan Negeri Sabah Cawangan Keningau, di sini Isnin.
SPONSORED CONTENT 40pc involves the Constitution: Hajiji Kota Kinabalu: The Sabah Government will not bow down from pursuing its 40% revenue entitlement, says Datuk Seri Hajiji Noor. Read more Mengulas lanjut, katanya, Pusat Sains itu akan diwujudkan di perpustakaan di kedua-dua daerah tersebut bagi meningkat kecenderungan murid dan pelajar dalam bidang berkaitan.
“Kita wujudkan Pusat Sains secara berperingkat tidak kira berskala besar atau sederhana tetapi yang penting di perpustakaan supaya anak-anak boleh membuat rujukan berkaitan sains dan teknologi melalui pameran yang disediakan.
“Tujuan kita adalah untuk membudayakan STEM di kalangan pelajar, kerana dalam perpustakaan ini pun banyak juga buku-buku berkaitan dengan sains.
“Tetapi dengan adanya pameran sains dan teknologi, sudah tentu akan memberi nilai tambah pemahaman kepada anak-anak kita,” katanya.
Sementara itu, mengulas mengenai program yang dihadirinya, beliau berkata, usaha Perpustakaan Negeri Sabah memperkasakan budaya membaca berhasil apabila lebih satu juta pengunjung hadir ke perpustakaan seluruh cawangan di negeri ini direkodkan.
“Ini bermaksud, perpustakaan masih relevan walaupun ada wadah yang lain. Perpustakaan tetap mendapat tempat di hati masyarakat.
“Diharap menerusi program seumpama ini bukan saja murid atau pelajar yang hadir tetapi masyarakat setempat harus bersama-sama memanfaatkan perpustakaan ini termasuk dengan kewujudan sudut sains bagi menarik minat anak-anak kita,” katanya.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.





