
ISKANDAR PUTERI: Dua pencuri bersiri yang sebelum ini aktif melakukan jenayah di utara tanah air sehingga dihukum penjara kembali aktif melakukan kegiatan pecah rumah dan samun sejak April lalu setelah berpindah ke negeri ini untuk mencari pekerjaan.
Pemangku Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Superintenden Saifullah Jaya@Yahya berkata, perkara itu terbongkar selepas kedua-dua lelaki tempatan berusia 26 dan 27 tahun ditahan susulan aduan pecah masuk dibuat seorang mangsa pada 4 September lalu.
Menurut beliau, kedua-dua suspek tersebut berjaya ditahan si sekitar kawasan Tanjung Kupang dan Kangkar Pulai, di sini pada 5 September lalu.
“Modus operandi digunakan mereka adalah memecah masuk premis kediaman atau kilang yang tidak dihuni khususnya antara pukul 3 pagi hingga 6 pagi.
“Antara jenayah yang dilakukan termasuk menyamar sebagai pengawal keselamatan untuk memecah masuk sebuah pusat data yang masih dalam pembinaan untuk mencuri kabel di stor simpanan projek berkenaan, pada 28 Julai lalu.
“Kabel yang dicuri telah dijual kepada pihak ketiga pada harga RM50,000, dimana duit berkenaan telah habis digunakan dipercayai untuk membeli dadah,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Iskandar Puteri, di sini hari ini.
Tambah Saifullah, penahanan kedua-dua suspek berjaya menyelesaikan 11 kes jenayah yang dilaporkan di bandar raya ini melibatkan pecah rumah, pecah masuk kedai dan kes kecurian parcel melibatkan kerugian berjumlah RM75,000.
“Antara yang dirampas termasuklah sebuah kereta jenis Proton Waja, barangan kemas, telefon bimbit pelbagai jenama, komputer riba, lampin pakai buang dan salinan surat pajak.
“Dalang utama iaitu lelaki berusia 26 tahun mempunyai 11 rekod jenayah lampau, manakala rakannya yang berusia 27 tahun pula memiliki 31 rekod jenayah lampau,” katanya.
Saifullah turut memberitahu, kes disiasat mengikut Seksyen 379; Seksyen 457; Seksyen 395 dan Seksyen 397 Kanun Keseksaan dan kedua-dua suspek sedang ditahan reman sebelum mereka didakwa di mahkamah pada 17 September ini.-UTUSAN
The post Dua lelaki aktif mencuri ditahan, kerugian berjumlah RM75,000 appeared first on Utusan Malaysia.





