
SEPANG: Polis berjaya menahan dua lelaki dipercayai terlibat dalam kejadian samun bersenjata parang di sebuah kedai runcit di Taman Delux, Dengkil, dekat sini, pada malam 9 September lalu.
Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Norhizam Bahaman berkata, tangkapan dibuat susulan laporan polis yang diterima berhubung kejadian tersebut.
Beliau berkata, kedua-dua suspek dipercayai terlibat dalam kejadian samun yang mencetuskan kebimbangan dalam kalangan penduduk setempat selepas insiden itu tular dan menjadi perhatian masyarakat.
“Susulan kejadian tersebut, polis telah berjaya menahan dua lelaki yang dipercayai terlibat dalam kejadian berkenaan.
“Siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti peranan setiap suspek serta mendapatkan maklumat tambahan berkaitan kes,” katanya dalam ketika dihubungi hari ini.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun berkumpulan dengan menggunakan senjata dan jika disabitkan kesalahan, suspek boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun serta sebatan.
Sehubungan itu, katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Muhammad Hussaini Helmee di talian 019-8966292 atau tampil ke Balai Polis Dengkil bagi membantu siasatan.
Dalam rakaman video tular, empat lelaki berpakaian serba hitam dan memakai topi keledar serta bersenjatakan parang menyamun sebuah kedai runcit sebelum melarikan wang tunai. – UTUSAN
The post Dua lelaki diberkas selepas samun kedai runcit bersenjata parang di Dengkil appeared first on Utusan Malaysia.




![[VIDEO] Terlelap ketika memandu, lori rempuh kedai nasi lemak](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/09/lori-kajang-tular-viral-1024x766.jpeg)
