Polis kenal pasti suspek samun RM2.91 juta di Jalan Ampang

14 Sep 2026 • 4:00 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Polis kenal pasti suspek samun RM2.91 juta di Jalan Ampang

KUALA LUMPUR, 14 SEPT: Polis mengenal pasti identiti suspek yang terlibat dalam kejadian samun berkumpulan dan bersenjata membabitkan kerugian RM2.91 juta di sebuah kondominium mewah di Jalan Ampang di sini, baru-baru ini.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Fadil Marsus berkata bagaimanapun tiada tangkapan dibuat setakat ini dan siasatan sedang dijalankan.

"Kes samun itu masih lagi dalam siasatan. Beri kami masa. Saya tidak mahu dedahkan apa-apa sekarang kerana siasatan sedang dilaksanakan.

“Apa yang boleh saya katakan setakat ini, kes berkenaan ada kaitan dengan mangsa itu sendiri," katanya kepada pemberita selepas Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Sentul, di sini hari ini.

Fadil berkata polis turut menyiasat kemungkinan wujud penglibatan pihak dalaman dalam kejadian berkenaan.

Beliau berkata polis telah merekodkan keterangan semua pihak di lokasi kejadian termasuk mangsa, penghuni serta pekerja keselamatan kondominium berkenaan bagi melengkapkan siasatan.

Fadil berkata pihaknya juga bekerjasama rapat dengan Kedutaan China berhubung perkembangan kes itu serta pasport mangsa yang turut dilarikan suspek.

Media sebelum ini melaporkan sekumpulan lelaki bertopeng, bersarung tangan dan bersenjatakan pisau melarikan wang tunai, barangan kemas serta jam tangan mewah dianggarkan bernilai RM2.91 juta dari sebuah unit kondominium mewah di Jalan Ampang pada 7 September lalu, sebelum mangsa seorang lelaki warga China berusia 28 tahun membuat laporan polis.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved