
IPOH, 17 SEPT: Polis sedang mengesan dua lelaki berhubung kejadian seorang pemandu didakwa diugut menggunakan sebatang kayu di Jalan Ipoh-Gopeng, Simpang Pulai di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Muhammad Najib Hamzah berkata kejadian berlaku pada 4.56 petang, apabila mangsa yang memandu kereta jenis Mercedes mendakwa membunyikan hon selepas kenderaannya dihimpit kereta jenis Toyota Vios, sebelum berlaku perselisihan faham.
“Seorang daripada dua lelaki yang keluar dari Toyota Vios itu didakwa membawa dan mengacukan sebatang kayu ke arah abang mangsa. Kejadian turut dirakam melalui kamera papan pemuka,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata kejadian itu turut tular di laman media sosial Threads dan kes disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan.
Muhammad Najib menasihatkan semua pengguna jalan raya supaya memandu dengan cermat, sentiasa mengawal emosi dan tidak bertindak secara agresif ketika berhadapan dengan sebarang perselisihan faham di jalan raya.






