
IPOH – Polis sedang memburu seorang lelaki yang dipercayai mengugut seorang pemandu menggunakan sebatang kayu dalam kejadian di Jalan Ipoh-Gopeng, Simpang Pulai yang tular di media sosial.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Muhammad Najib Hamzah berkata, berdasarkan siasatan, kejadian itu berlaku pada pukul 4.56 petang semalam.
Katanya, kejadian berlaku selepas kenderaan mangsa didakwa dihimpit sebuah Toyota Vios sebelum berlaku perselisihan faham selepas mangsa membunyikan hon.
“Susulan itu, dua lelaki keluar dari Toyota Vios berkenaan sebelum seorang daripada mereka didakwa membawa dan mengacukan sebatang kayu ke arah abang mangsa.
“Kejadian tersebut turut dirakam menggunakan kamera papan pemuka (dashcam) dan rakaman berkenaan kini tular di media sosial Threads,” katanya di sini hari ini.
Muhammad Najib berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan usaha mengesan individu yang terlibat sedang dijalankan.
Beliau menasihatkan semua pengguna jalan raya supaya memandu dengan cermat, sentiasa mengawal emosi dan tidak bertindak agresif ketika berhadapan sebarang perselisihan faham di jalan raya.
Terdahulu, tular beberapa rakaman dashcam dan gambar yang memaparkan perselisihan faham membabitkan dua individu dengan seorang daripadanya mengacukan sebatang kayu dipercayai cota. – KOSMO! ONLINE
The post Lelaki ugut guna kayu diburu appeared first on Kosmo Online.



![[VIDEO] ‘Dia main ketuk-ketuk pintu pula…’](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/09/tular-viral-seram-pejabat-1024x768.jpeg)


