Sindiket dadah tumpas, rampasan bernilai lebih RM35 juta

17 Sep 2026 • 7:00 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Sindiket dadah tumpas, rampasan bernilai lebih RM35 juta

KUALA LUMPUR, 17 SEPT: Polis menumpaskan sindiket mengedar dan memproses dadah yang didalangi dua lelaki warga asing dalam enam serbuan di Lembah Klang pada 10 September lalu dengan pelbagai jenis dadah bernilai RM35.24 juta dirampas.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Datuk Hussein Omar Khan berkata operasi di Ampang, Petaling, Kepong, Brickfields, Subang Jaya dan Sepang itu, turut membawa kepada penahanan 11 suspek terdiri daripada enam lelaki tempatan serta dua lelaki dan tiga wanita warga asing, berusia antara 25 hingga 48 tahun.

Beliau berkata dua lelaki warga asing berkenaan, yang masing-masing memegang pasport Australia dan Kanada dipercayai bertindak sebagai dalang serta ahli kimia sindiket itu, yang mula bergiat aktif sejak Januari lepas.

“Sindiket ini menjadikan sebuah banglo yang disewa di Ampang sebagai makmal memproses dadah, serbuan di Subang Jaya turut membawa kepada penemuan pelbagai alat memproses dadah, dipercayai premis berkenaan sedang disiapkan untuk dijadikan makmal dadah,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Hussein berkata rampasan dadah itu membabitkan serbuk methamphetamine seberat 344.89 kilogram (kg), cecair methamphetamine (347.15 liter), serbuk MDMA (3.84 kg), pil eramin 5 (630 gram) dan ganja (20 gram), yang dianggarkan mampu dibekalkan kepada tiga juta pengguna.

Beliau berkata berdasarkan jumlah dadah yang dihasilkan, ia dipercayai untuk pasaran tempatan dan antarabangsa.

“Polis turut merampas 11 kenderaan, seutas jam tangan mewah, dua kad ATM dan wang tunai berjumlah RM3,610 selain sepucuk pistol revolver .38. Semua barangan rampasan bernilai RM1.79 juta dibuat mengikut Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988,” katanya.

Hussein berkata lima suspek direman antara 13 dan 14 hari sehingga 23 dan 24 September ini, mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, manakala enam suspek lagi dibebaskan dengan jaminan dan dijadikan saksi polis.

“Kejayaan ini membuktikan komitmen serta tindakan agresif dan integriti JSJN dalam memerangi ancaman dadah secara menyeluruh.

“JSJN sentiasa komited memerangi dadah demi melindungi generasi masa kini dan akan datang. Dadah adalah musuh nombor satu negara,” katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved