Dua lelaki dicekup bersama rokok dan beras seludup

LocalPolitics
22 Apr 2026 • 6:18 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Kegiatan menyimpan dan menjual rokok tidak bercukai serta beras dipercayai diseludup dari Thailand terbongkar selepas dua lelaki tempatan diberkas dalam serbuan khas di Kampung Bukit Bidang, Selising, Pasir Puteh awal pagi Rabu. Foto: PDRM
image is not available

PASIR PUTEH - Kegiatan menyimpan dan menjual rokok tidak bercukai serta beras dipercayai diseludup dari Thailand terbongkar selepas dua lelaki tempatan diberkas dalam serbuan khas di Kampung Bukit Bidang, Selising di sini awal pagi Rabu.

Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Superintenden Saari Yaacob berkata, serbuan menerusi Op Kontraban itu dijalankan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Puteh kira-kira jam 6.30 pagi.

Menurut beliau, operasi berkenaan membawa kepada penahanan dua suspek berusia lingkungan 30-an di sebuah rumah yang dipercayai dijadikan lokasi penyimpanan barang seludup.

"Hasil pemeriksaan lanjut menemui sejumlah besar rokok tidak bercukai pelbagai jenama serta beras yang dipercayai dibawa masuk dari Thailand tanpa kebenaran," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

**media[3499167]**

Beliau memberitahu, sebanyak 141,200 batang rokok tidak bercukai dirampas dengan nilai anggaran RM155,320.

Ujarnya, polis turut merampas beras pelbagai jenama seberat 7,775 kilogram bernilai RM37,577 dan jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan RM191,672.

Saari berkata, siasatan awal mendapati seorang daripada suspek mengaku terlibat dalam kegiatan penjualan rokok tidak bercukai dan beras seludup.

"Seorang lagi suspek bagaimanapun menafikan penglibatan dalam kes ini.

"Kedua-dua suspek telah ditahan dan akan dipohon reman bagi membantu siasatan lanjut. Kes disiasat mengikut peruntukan undang-undang berkaitan penyeludupan serta barang tidak bercukai," katanya.

Tambah beliau, pihaknya memandang serius kegiatan penyeludupan kerana bukan sahaja merugikan hasil negara, malah boleh menjejaskan keselamatan serta ekonomi tempatan.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved