Empat suspek kes pecah kedai dicekup

8 Apr 2026 • 5:58 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Tangkap layar rakaman CCTV kes pecah kedai di salah satu premis terlibat.

KUANTAN - Empat lelaki ditahan kerana disyaki terlibat dalam dua kes pecah kedai perkakasan di sini membabitkan kerugian lebih RM12,000, dipercayai berlaku sekitar Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Ashari Abu Samah berkata, suspek yang bekerja sebagai peniaga dan pekerja kedai besi buruk serta buruh kasar berusia 35 hingga 44 tahun itu ditahan secara berasingan di dua lokasi berbeza sekitar daerah ini Selasa lalu antara jam 11.30 pagi hingga 12.30 tengahari.

Menurutnya susulan penahanan kesemua lelaki itu, pihaknya merampas beberapa barang kes termasuk kereta jenis Honda Civic Type-R, kunci kenderaan, telefon, alat pemotong, peti besi dan resit jual beli atas nama salah seorang suspek.

"Hasil ujian saringan air kencing, kesemua suspek didapati positif dadah," katanya.

Jelasnya, tangkapan ke atas suspek itu susulan laporan dua kes pecah kedai perkakasan di Bandar Indera Mahkota dan Jalan Beserah di sini.

"Kes pertama yang berlaku di sebuah premis di Bandar Indera Mahkota disedari kira-kira jam 9 pagi Isnin lalu selepas salah seorang pekerja mendapati bahagian pintu hadapan terbuka.

"Pemeriksaan lanjut mendapati tiga peti tunai dan dua unit perakam kamera litar tertutup (CCTV) hilang dengan anggaran kerugian RM 12,390," katanya.

Beliau berkata, kes kedua yang berlaku di premis di Jalan Beserah yang disedari petang hari sama.

"Kejadian disedari kira-kira jam.2.11 petang, semasa salah seorang pekerja berada di kedai melihat pintu besi bahagian belakang diumpil.

"Semakan CCTV mendapati tiga lelaki cuba memasuki kedai dengan cara memotong pintu besi bahagian belakang kedai sekitar jam 10.50 malam pada Ahad dengan anggaran kerugian RM 350," katanya.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 457/511 Kanun Keseksaan.

"Suspek kini direman selama.empat hari bermula Rabu hingga Sabtu untuk siasatan lanjut ," katanya.