
PORT DICKSON – Dua lelaki masing-masing dipenjara setahun oleh Mahkamah Majistret, di sini, hari ini selepas mengaku bersalah memiliki barangan curi dalam tiga kes berasingan.
Tertuduh, Aszarulzaman Razali, 35, dan Muhammad Hakimi Normansaridi, 24, dijatuhi hukuman itu oleh Majistret Mohd Farez Rahman yang membuat keputusan berkenaan selepas mengambil kira fakta kes serta rekod kesalahan lampau masing-masing.
“Rekod kesalahan kamu tinggi, benda (jenayah) yang sama sahaja. Aszarul (Aszarulzaman) ada 41 rekod lampau. 59 laporan polis ke atas kamu dalam tempoh seawal tahun 2016. 10 tahun ada 59 laporan.
“Hakimi pula ada 14 laporan dalam tempoh empat tahun. Setelah pertimbangkan fakta jes, rekod lampau tertuduh, penjara setahun dari tarikh ditangkap,” katanya.
Majistret menjatuhkan hukuman setahun penjara dari tarikh ditangkap bagi pertuduhan pertama dan kedua, manakala bagi pertuduhan ketiga pula dijatuhkan hukuman 10 bulan penjara dengan kesemua hukuman berjalan serentak.
Terdahulu, ketika merayu hukuman diringankan, Aszarulzaman memaklumkan dia mempunyai dua anak serta seorang ibu yang menghidap kanser dan memohon hukuman dikira dari tarikh ditangkap. Muhammad Hakimi pula merayu supaya hukuman diringankan dan memaklumkan dia masih mempunyai menanggung ibu dan bapa. Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Zul Azrin Zainuddin dan kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam. Kes disebut semula pada 4 Disember ini. – KOSMO! ONLINE
The post Dua lelaki dipenjara setahun miliki barangan curi appeared first on Kosmo Online.






