
SANDAKAN: Polis di sini menangkap dua lelaki dan merampas 116.02 gram methamphetamine bernilai RM12,762 di kawasan dekat kedai makan Jalan Lintas Labuk Batu 8, Ahad.
Ketua Polis Sandakan ACP Ashmon Bajah berkata, kedua-dua lelaki tersebut ditangkap semasa Ronda Cegah Jenayah pada jam 1.50 pagi.
“Semasa anggota unit kereta peronda polis (MPV) membuat tugas Ronda Cegah Jenayah di kawasan tersebut, mereka melihat sebuah kenderaan jenis Mitsubishi Triton berwarna putih yang dalam keadaan mencurigakan.
“Susulan pemeriksaan, dua lelaki ditahan dan satu bungkusan besar beg plastik berwarna hitam yang mengandungi mthamphetamine (syabu) seberat kira-kira 116.02 gram bernilai RM 12,762.00 turut dirampas,” katanya dalam kenyataan.
Kes itu disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Sementara itu, sebanyak 20 keping saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan dalam satu Operasi Samseng Jalanan yang dilaksanakan polis bersama Jabatan Alam Sekitar (JAS) pada 22 hingga 23 Mac.
Ashmon berkata operasi yang bermula jam 4 petang sehingga 2.30 pagi itu disertai oleh 10 anggota polis dan 10 penguatkuasa JAS.
“Sepanjang operasi ini, sebanyak 20 keping saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan oleh pihak polis.
“JAS pula membuat ujian bunyi bising motorsikal terhadap 17 motosikal dan mengeluarkan sebanyak 14 notis arahan di bawah Seksyen 48, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 .
“Daripada jumlah itu, j sembilan dikompaun di bawah Peraturan 4(2), Peraturan- Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Bunyi Bising Kenderaan Motor) 1987 kerana mengeluarkan bunyi bising melebihi had yang dibenarkan,” katanya.

