Dua lelaki dituduh buli, karamkan bot dua kanak-kanak

16 Oct 2026 • 2:00 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Dua lelaki dituduh buli, karamkan bot dua kanak-kanak

CANBERRA: Dua remaja lelaki menaiki sebuah jet ski berdepan kemungkinan pertuduhan jenayah selepas bertindak ganas mengelilingi dan menyembur air ke arah sebuah bot aluminium  yang dinaiki dua kanak-kanak sehingga menyebabkannya terbalik di Gold Coast, Australia.

Rakaman video yang diambil oleh saksi kejadian, Robert Collin memaparkan aksi dua remaja berusia 15 dan 16 tahun berkenaan mengepung bot yang dinaiki dua kanak-kanak lelaki berusia 10 dan 14 tahun di Sungai Nerang berhampiran Surfers Paradise baru-baru ini.

Bot kecil itu dipukul ombak yang dicipta secara sengaja oleh ski air terbabit sebelum ia terbalik dan mencampakkan kedua-dua mangsa ke dalam sungai.

“Penunggang jet ski tersebut bertindak amat agresif terhadap bot kecil itu dan langsung tidak peduli untuk melihat keadaan dua mangsa  selepas menyebabkan bot mereka terbalik.

Pihak polis mengesahkan bahawa mangsa sedang memancing di sungai berkenaan sebelum secara tiba-tiba diserang oleh penunggang jet ski terbabit.

Seorang pegawai polis, Sarjan Shannon Gray memaklumkan bahawa kedua-dua mangsa tidak  mengenali ‘pembuli’ itu dan serangan tersebut berlaku secara rawak.

“Bot mereka dikelilingi dan menerima percikan air yang akhirnya menyebabkan ia karam dan kedua-dua budak itu jatuh ke dalam air. Enjin bot juga rosak dan tidak dapat dihidupkan selepas insiden tersebut,” katanya.

Beliau menyifatkan tindakan remaja terbabit sebagai amat berbahaya dan menegaskan mereka boleh berdepan pelbagai pertuduhan termasuk menyebabkan insiden di perairan, menyerang kanak-kanak, merosakkan harta benda dan melakukan aksi berbahaya di kawasan larangan.

Datuk Bandar Gold Coast, Tom Tate turut mengecam tindakan remaja berkenaan dan menyifatkannya sebagai perbuatan yang tidak masuk akal dalam satu sidang akhbar pada Selasa. – AGENSI

 

The post Dua lelaki dituduh buli, karamkan bot dua kanak-kanak appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved