Dua lelaki hilang kes lemas di Pahang

23 Nov 2026 • 1:57 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Dua lelaki hilang kes lemas di Pahang

BENTONG – Seorang lelaki warga emas dan remaja berusia 16 tahun dilaporkan hilang dalam dua kejadian berasingan dipercayai lemas di Sungai Telemong, Karak dan muka kuala Sungai Endau, Rompin.

Penolong Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Mohd Salahuddin Isa berkata, kedua-dua mangsa masih belum ditemukan dengan operasi mencari dan menyelamat (SAR) memasuki hari kedua hari ini.

Menurutnya, mangsa pertama, S. Appan, 74, dilaporkan hilang di Sungai Telemong, Karak selepas pakaian dan seliparnya ditemukan di tepi sungai, sekali gus menimbulkan kebimbangan dia terjatuh ke dalam air.

“Hasil maklumat diterima, mangsa keluar dari rumah pada pukul 3 petang, 21 November lalu, namun tidak pulang dipercayai susulan perselisihan faham dengan anaknya.

” Anak mangsa kemudian membuat laporan polis pada pukul 11 pagi, 22 November lalu sebelum pihak polis menghubungi bomba bagi penyelarasan operasi SAR. Pencarian hari kedua melibatkan lapan anggota BBP Karak dan tujuh anggota PPDA Bukit Angin.

“Operasi itu turut dibantu 18 anggota polis dan sembilan anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dengan menggunakan dua bot aluminium, dua kenderaan pacuan empat roda, sebuah lori serta kenderaan operasi lain,”katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Sementara itu, Mohd Salahuddin berkata, seorang remaja, Mohamad Nur Afzuar Abdullah, 16, dipercayai lemas ketika mencari kepah bersama bapa saudaranya, Muhamad Fazril Mohamad Farid, 39, di muka kuala Sungai Endau, Kampung Tanjung Pahang, Rompin petang semalam.

Tambahnya, bapa saudara mangsa dilaporkan selamat dalam kejadian itu, manakala remaja berkenaan masih belum ditemukan.

” Pasukan bomba yang tiba di lokasi melakukan pencarian awal di sepanjang pesisir pantai sebelum mengaktifkan pasukan PPDA Pekan untuk operasi selaman.

” Pencarian hari kedua hari ini dimulakan dengan taklimat penugasan pada pukul 7.15 pagi sebelum pencarian di sepanjang pantai dilakukan, selain menggunakan bot aluminium dan bot Kavler bagi mengesan mangsa di permukaan laut,” katanya.

Beliau berkata, operasi di Rompin melibatkan 10 anggota BBP Rompin, empat anggota PPDA, tujuh anggota polis dan empat anggota APM dengan bantuan dua bot serta beberapa kenderaan operasi.- KOSMO! ONLINE

The post Dua lelaki hilang kes lemas di Pahang appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved