KUANTAN- Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang remaja lelaki yang hilang dihanyutkan arus ketika mencari kepah bersama bapa saudara di Kuala Sungai Endau, Kampung Tanjung Pahang, Rompin, Ahad lalu diteruskan pada Isnin.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Mohd Salahuddin Isa berkata, operasi mencari mangsa, Mohamad Nur Afzuar Abdullah pada hari kedua melibatkan 10 anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Rompin.
Menurutnya, operasi turut dibantu anggota Pasukan Penyelamatan Di Air (PPDA) dari BBP Pekan, polis dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
"Pencarian hari kedua dimulakan seawal jam 7.30 pagi tertumpu di sepanjang pantai dan permukaan laut.
Pasukan PPDA membuat selaman pertama jam 8 pagi di lokasi sekitar mangsa dihanyutkan,"katanya.
Dalam kejadian yang dilaporkan 6.15 petang itu, mangsa dikhuatiri lemas manakala bapa saudaranya berusia 39 tahun selamat.
"Susulan maklumat diterima, anggota BBP Rompin bertindak dengan membuat pencarian di pesisir pantai pada peringkat awal sebelum Pasukan PPDA Pekan diaktifkan membantu pencarian," ujarnya.






