Dua lelaki larikan diri ke Thailand tinggal kereta sarat minyak masak subsidi

LocalBusiness & Finance
28 Jun 2026 • 6:00 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Dua lelaki larikan diri ke Thailand tinggal kereta sarat minyak masak subsidi
Sebuah kereta yang ditinggalkan sarat dengan bekalan minyak masak bersubsidi sebelum dua lelaki bertindak melarikan diri ke Thailand menggunakan perahu melalui Sungai Golok di pangkalan haram Bahaman, Kampung Simpangan di Tumpat pada Ahad. - Foto:PGA

TUMPAT - Dua lelaki bertindak meninggalkan sebuah kereta yang sarat dengan bekalan minyak masak bersubsidi sebelum melarikan diri ke Thailand menggunakan perahu melalui Sungai Golok di pangkalan haram Bahaman, Kampung Simpangan di sini pada Ahad.

Komander Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA), Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 8.30 pagi itu, anggota Strike Force Batalion 8 PGA Pengkalan Chepa menjalankan serbuan menerusi Op Taring Wawasan.

Menurut beliau, ketika serbuan dijalankan, pihaknya mengesan dua lelaki sedang memunggah beberapa kotak berwarna coklat dari sebuah Perodua Kancil ke dalam perahu di pangkalan haram berkenaan.

“Suspek yang menyedari kehadiran pasukan serbuan bertindak terjun ke dalam perahu sebelum memecut ke arah Thailand bagi mengelakkan ditahan.

“Pemeriksaan lanjut ke atas kenderaan yang ditinggalkan menemukan sejumlah minyak masak yang dipercayai untuk diseludup ke negara jiran,” katanya kepada pemberita.

Ujar beliau, sebanyak 408 kilogram (kg) minyak masak bersubsidi dirampas dalam operasi tersebut.

Katanya, sebuah Perodua Kancil turut disita bagi membantu siasatan.

“Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM6,020 membabitkan minyak masak dan kenderaan yang digunakan dalam kegiatan itu,” katanya.

Menurut Ahmad Radzi, hasil siasatan awal mendapati bekalan minyak masak berkenaan dipercayai diperoleh di sekitar Kota Bharu dan Tumpat sebelum cuba diseludup ke Thailand.

Beliau berkata, kes diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kota Bharu untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved