Bekas jurutera, dua isteri diperintah bela diri kes AMLA

LocalPolitics
25 Jun 2026 • 4:55 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

Bekas jurutera, dua isteri diperintah bela diri kes AMLA

Kota Kinabalu: Seorang bekas Ketua Jurutera Jabatan Kereta Api Sabah bersama dua isterinya yang sebelum ini dilepas dan dibebaskan daripada tujuh pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan RM438,850 pada Rabu diperintahkan oleh Mahkamah Tinggi untuk membela diri terhadap semua pertuduhan tersebut.

Hakim Datuk Celestina Stuel Galid membenarkan rayuan pihak pendakwaan terhadap keputusan Mahkamah Sesyen yang melepaskan dan membebaskan kesemua responden — Ismail Ahmad, 65, yang kini pesara, isteri pertamanya Muhilim @ Masniah Buaya @ Buayie, 65, dan isteri kedua Runtiah Rais, 50,  tanpa memanggil mereka membela diri.

Pertuduhan itu merangkumi satu pertuduhan bersama melibatkan Ismail dan Muhilim, satu pertuduhan bersama melibatkan Ismail dan Runtiah serta lima pertuduhan terhadap Runtiah secara individu.

Celestina memutuskan bahawa hakim Mahkamah Sesyen telah terkhilaf dari segi undang-undang dan fakta ketika melepaskan serta membebaskan ketiga-tiga tertuduh.

Mahkamah memerintahkan Ismail membela diri terhadap pertuduhan bersama dengan Muhilim dan Runtiah manakala Runtiah diperintahkan membela diri terhadap lima pertuduhan yang dihadapinya.

Mahkamah turut mengarahkan kes berkenaan dikembalikan ke Mahkamah Sesyen untuk peringkat pembelaan.

Pendakwaan sebelum ini merayu keputusan Hakim Mahkamah Sesyen Abu Bakar Manat yang melepaskan dan membebaskan Ismail daripada lima pertuduhan yang dihadapinya secara individu pada akhir kes pembelaan pada 16 Disember 2022 selain melepaskan dan membebaskan Muhilim serta Runtiah pada akhir kes pendakwaan pada 10 Jun 2021.

Pihak pendakwaan berhujah bahawa hakim Mahkamah Sesyen telah terkhilaf dari segi undang-undang dan fakta dalam membuat keputusan tersebut dan Mahkamah Tinggi perlu campur tangan kerana keputusan itu jelas tidak tepat.

Bagaimanapun Celestina menangguhkan keputusan berhubung rayuan pendakwaan terhadap lima pertuduhan lain yang dihadapi Ismail secara individu sehingga selesai prosiding pembelaan bagi pertuduhan lain di Mahkamah Sesyen.

Mahkamah menetapkan 23 Julai ini untuk e-semakan bagi mendapatkan perkembangan terkini prosiding di Mahkamah Sesyen.

Sementara itu di Mahkamah Sesyen Hakim Elsie Primus menetapkan 13 hingga 17 Julai ini untuk pendengaran kes pembelaan.

Elsie membenarkan Ismail diikat jamin RM100,000 manakala Muhilim dan Runtiah masing-masing dibenarkan ikat jamin RM50,000 dengan seorang penjamin.

Mahkamah turut mengenakan syarat tambahan yang dipohon pihak pendakwaan iaitu menyerahkan pasport kepada mahkamah serta melapor diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sekurang-kurangnya sekali sebulan sehingga kes selesai.

Ismail dan Muhilim yang merupakan bekas penjawat awam didakwa bersama memiliki wang berjumlah RM275,550 dalam sebuah akaun bank yang dipercayai hasil aktiviti haram antara Mac hingga September 2016 di cawangan HSBC Kota Kinabalu.

Ismail dan Runtiah pula didakwa bersama memiliki RM133,300 dalam akaun bank yang didakwa diperoleh daripada aktiviti haram antara Februari hingga September 2016 di cawangan OCBC Bank Kota Kinabalu.

Runtiah secara individu berdepan lima pertuduhan memiliki wang yang didakwa hasil aktiviti haram iaitu masing-masing RM10,000, RM5,000, RM5,000, RM5,000 dan RM5,000 di cawangan Maybank di Karamunsing, Putatan dan Kampung Air serta di Pos Malaysia Putatan pada 1 Julai 2016.

Pada 10 Jun 2021 Mahkamah Sesyen melepaskan dan membebaskan mereka daripada semua pertuduhan di akhir kes pendakwaan.

Ismail juga sebelum ini berdepan lima pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM195,000 yang didakwa diperoleh daripada aktiviti haram antara Januari hingga 14 Julai 2016 di cawangan Maybank di Kampung Air dan Putatan sebelum dilepas dan dibebaskan pada 16 Disember 2022 di akhir kes pembelaannya.

Semua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai hasil aktiviti haram atau RM5 juta mengikut mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved