
KUALA LUMPUR – Dua lelaki didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas masing-masing atas satu pertuduhan membuat hantaran komunikasi jelik melampau membabitkan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
Bagaimanapun kedua-dua tertuduh iaitu Abdullah Aidid Mochtar @Ahmad Duta, 44, dan Ashadi Zul’izzi Zainal Abidin, 46, selaku Orang Kena Saman (OKS) mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhafap mereka secara berasingan di hadapan Hakim Muhammad Ilmami Ahmad.
Mengikut pertuduhan Abdullah Aidid didakwa menggunakan akaun TikTok “rookiebenz_albenzauto” secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi iaitu hantaran yang jelik melampau sifatnya berkenaan Tuanku Muhriz dengan niat untuk menyakitkan hati mana-mana orang pukul 11.27 malam pada 1 Ogos lalu.
Sementara Ashadi Zul’izzi pula didakwa melakukan kesalahan sama menggunakan akaun Threads “@razakahmad725” pukul 2.39 petang pada 4 Ogos lalu.
Kedua-dua hantaran itu kemudian dilihat di Jalan Dutamas Seroja, Taman Segambut di sini masing-masing pukul 12.34 tengah hari, 4 Ogos lalu dan pukul 12.15 tengah hari pada 5 Ogos lalu yang didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang boleh dihukum di bawah seksyen 233(2) akta sama.
Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan denda maksimum RM500,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Berikutan pengakuan tidak bersalah kedua-dua tertuduh, Pegawai Pendakwa MCMC Nazrul Nizam Mohd. Zameri menawarkan jaminan masing-masing RM15,000 terhadap Abdullah Aidid dan Ashadi Zul’izzi.
Bagaimanapun kedua-dua OKS yang tidak diwakili peguam memohon jumlah ikat jamin itu dikurangkan.
Semasa rayuan Abdullah Aidid memaklumkan tidak mempunyai pendapatan tetap dan telah menganggur selama tiga bulan manakala Ashadi Zul’izzi yang bekerja sebagai pereka grafik berkata jumlah jaminan yang ditawarkan diluar kemampuannya.
Selepas mendengar permohonan kedua-dua belah pihak Hakim Muhammad Ilmami kemudian membenarkan kedua-dua OKS diikat jamin masing-masing RM12,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 1 Disember ini bagi sebutan semula kes. – KOSMO! ONLINE
The post Dua lelaki nafi buat hantaran jelik melampau berkaitan Tuanku Muhriz appeared first on Kosmo Online.






