Dua lelaki berdepan denda RM500,000 hina Tuanku Muhriz

LocalPolitics
30 Oct 2026 • 2:39 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Dua lelaki berdepan denda RM500,000 hina Tuanku Muhriz
Dua lelaki mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan memuat naik hantaran jelik melampau terhadap Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.

KUALA LUMPUR – Seramai dua lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat atas satu pertuduhan memuat naik hantaran jelik melampau terhadap Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, dua bulan lalu.

Kedua-dua lelaki berkenaan, Abdullah Aidid Mochtar @ Ahmad Duta, 44, dan Ashadi Zul'izzi Zainal Abidin, 46, selaku orang kena saman (OKS) membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim, Muhammad Ilmami Ahmad.

Mengikut pertuduhan, Abdullah Aidid didakwa menggunakan akaun TikTok 'rookiebenz_albenzauto' untuk membuat dan memulakan komunikasi yang bersifat jelik melampau terhadap Tuanku Muhriz dengan niat menyakitkan hati orang lain pada jam 11.27 malam 1 Ogos lalu.

Ashadi Zul'izzi pula didakwa melakukan perbuatan sama menerusi akaun Threads '@razakahmad725' pada jam 2.39 petang 4 Ogos lalu.

Kedua-dua hantaran itu kemudian dilihat seorang pengadu di Jalan Dutamas Seroja 5, Taman Segambut di sini, masing-masing pada 4 dan 5 Ogos lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 233(2) akta sama.

Jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan denda maksimum RM500,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Mereka juga boleh dikenakan denda tambahan RM5,000 bagi setiap hari kesalahan diteruskan selepas sabitan.

Semasa prosiding, Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Nazrul Nizam Mohd Zameri mencadangkan setiap tertuduh diberi jaminan sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun, kedua-dua lelaki yang tidak diwakili peguam memohon jumlah jaminan dikurangkan dengan alasan masing-masing tidak mempunyai pendapatan tetap.

Abdullah Aidid berkata, dia kehilangan pekerjaan sejak tiga bulan lalu susulan kes berkenaan dan kini hanya mengambil upah bekerja di bengkel milik rakannya apabila diperlukan.

Ashadi Zul'izzi yang bekerja sebagai pereka grafik sambilan pula berkata, pendapatannya bergantung kepada tempahan pelanggan.

Dia turut menjelaskan tidak berniat menghina institusi diraja atau menentang mana-mana pihak, sebaliknya mendakwa hanya menyuarakan pandangan sebagai rakyat.

"Saya tidak tahu memberi pandangan menjadi satu kesalahan," katanya.

Selepas mendengar permohonan kedua-dua pihak, setiap tertuduh dibenarkan untuk diikat jamin sebanyak RM12,000 dengan seorang penjamin.

Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 1 Disember depan.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved