
MELAKA - Seorang remaja perempuan mendakwa dirogol dua lelaki warga Rohingya termasuk teman yang baharu sehari dikenalinya menerusi aplikasi WhatsApp.
Mangsa berusia 15 tahun dirogol secara bergilir-gilir oleh kedua-dua suspek berusia 14 dan 27 tahun dalam sebuah kereta di tepi Pantai Klebang pada Khamis lalu.
Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah berkata, laporan polis telah dibuat oleh abang mangsa sehari selepas kejadian itu, sebelum kedua-dua suspek berjaya diberkas dalam tempoh 24 jam.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati mangsa yang merupakan pelajar Tingkatan Tiga keluar rumah pada jam 2 petang pada 14 September lalu untuk bersiar-siar dengan rakan lelaki yang baharu dikenalinya itu dengan membonceng motosikal.
Kata beliau, mangsa kemudian dibawa bersiar-siar menaiki sebuah kereta jenis Proton Preve di kawasan Pantai Klebang sebelum dirogol oleh kedua-dua individu terbabit.
"Selepas itu mangsa ditinggalkan di sebuah taman permainan di kawasan Batu Berendam antara jam 2 hingga 3 pagi.
"Pemeriksaan pakar perubatan di Hospital Melaka mendapati terdapat koyakan baharu pada kemaluan mangsa," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Rabu.
Tambah beliau, kesemua suspek kini direman selama tujuh hari bermula 15 September lalu hingga 21 September ini.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol," katanya.


