Dua lelaki warga Thailand ditahan polis kerana disyaki melepaskan tembakan ke arah pos kawalan pasukan keselamatan di sempadan negara di Padang Besar, Khamis lalu.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, kejadian tembakan itu berlaku pada jam 10.28 pagi Khamis ketika dua anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) sedang melakukan rondaan Ops Taring Wawasan Kedah/Perlis.
Anggota PGA bagaimanapun selamat tanpa kecederaan selepas berlindung dan mendapat bantuan daripada pasukan risikan serta kenderaan perisai.
Menurutnya, Jarak tembakan dilepaskan dianggar kira-kira 66 meter ke sempadan Padang Besar.
Susulan itu, kawalan sempadan telah dipertingkatkan dan semua anggota bertugas diarahkan memakai kelengkapan baju kalis peluru dan ‘helmet balistik’ selain semakan kamera litar tertutup (CCTV) dilakukan.
Selain itu juga katanya, pemantauan turut dilakukan dengan bantuan Unit Dron Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Tambahnya lagi, berdasarkan rakaman CCTV di lokasi berkenaan, suspek menaiki skuter yang datangnya dari arah kawasan kebun getah sebelum mengeluarkan pistol dan melepaskan kira-kira 10 das tembakan.
Susulan itu, sepasukan Polis Thailand daripada cawangan jenayah telah menahan dua suspek terbabit di sebuah rumah di Padang Besar, Thailand, kira-kira jam 10.40 pagi, pada Jumaat.
“Soal siasat suspek lelaki berusia 21 dan 28 tahun itu mendakwa meminjam pistol jenis semi auto daripada seorang rakannya.
“Suspek dikatakan bertujuan untuk mencuba senjata api berkenaan dan telah melepaskan tembakan ke arah sempadan Malaysia,” katanya.
Senjata berkenaan dipercayai dipulangkan semula kepada rakan mereka.
“Siasatan masih dijalankan oleh Polis Thailand untuk mengesan senjata api yang digunakan,” ujarnya.
Sumber: Sinar Harian
The post Dua lelaki Thailand ditahan, lepaskan tembakan di sempadan negara appeared first on The Reporter.





