KUALA LUMPUR - Enam lelaki tempatan dan dua wanita Indonesia didakwa di Mahkamah Majistret di sini pada Khamis atas pertuduhan mengedar 0.36 kilogram (kg) dadah, minggu lepas.
M.Puvanesvaaran, 29, R.Kalaiarasu, 30, M.Mughilan, 26, K S.Surrendran, 24, S.Satiish Kumar, 30, Loke Jun Mun, 34, dan dua wanita, Ananda, 30, serta Devi Ekaputri Karokaro, 38, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret llli Marisqa Khalizan.
Tiada pengakuan direkodkan kerana kes itu di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Lapan rakan itu didakwa bersama-sama mengedar dadah disyaki heroin dengan anggaran berat 357.80 gram (0.36 kg) di sebuah kondominium di Jalan Chan Sow Lin di sini pada 8.30 pagi 15 Mac.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B (2) dibaca bersama-sama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan maksimum 15 sebatan, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Syafika Azwa Fikri memohon tarikh sebutan untuk serahan laporan kimia.
Mahkamah tidak membenarkan jaminan terhadap enam lelaki itu yang diwakili peguam Yeong Jei Beng manakala dua wanita itu tidak diwakili peguam serta menetapkan 16 Jun untuk sebutan semula kes.- Bernama

