
PONTIAN – Dua terbunuh, manakala dua lagi cedera parah dalam kemalangan melibatkan tiga buah motosikal di KM3.8 Jalan Parit Semerah-Parit Kudus, di sini, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Pontian, Supritendan Hadzrat Hussein Mion Hussain berkata, mangsa yang terbunuh adalah penunggang motosikal Nor Roslinda Rosli, 37 dan pembonceng, Muhammad Qusyairi Mohd Razali berusia 15 tahun.
Menurut beliau, penunggang motosikal parah pula adalah Mohd Danish Senam, 16, dan Mohamad Miszuan Hafiz Miswadi, 14.
“Kejadian berlaku kira-kira pukul 9.30 malam tadi berhampiran Taman Warisan yang mana kedua-dua mangsa dalam perjalanan dari arah Parit Semerah ke Parit Kudus.
“Motosikal ditunggang Mohd Danish dari arah bertentangan cuba memotong sebuah kenderaan tetapi tidak berjaya dan bertembung dengan motosikal kedua-dua mangsa,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Tambah Hadzrat Hussein, sebuah lagi motosikal yang ditunggangi oleh Mohamad Miszuan Hafizi yang datang dari arah Parit Semerah ke Parii Kudus tidak sempat mengelak turut melanggar motosikal mangsa.
“Mangsa yang cedera menerima rawatan di Hospital Pontian manakala yang maut turut dihantar ke hospital sama untuk proses bedah siasat,” jelas beliau. – KOSMO! ONLINE
The post Dua maut kemalangan tiga motosikal appeared first on Kosmo Online.






